Home Berita PAS Terengganu

Kuala Terengganu, Marang dilanda hujan ribut

418
SHARE

KUALA TERENGGANU, 6 Jun – Hujan ribut lebat melanda di kawasan bandar raya dan beberapa daerah lain telah menyebabkan beberapa kerosakan termasuk pokok-pokok berhampiran jalan yang tumbang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ribut yang berlaku sekitar jam 6 petang tadi menyebabkan beberapa atap rumah kediaman sekitar tercabut akibat angin kuat.

Hasil tinjauan bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman mendapati antara lokasi pohon pokok tumbang seperti di jalan besar hadapan Istana Badariah menghala ke bandar Kuala Terengganu dan jalan di hadapan Domino’s Pizza Kuala Ibai.

“Sekarang ini kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok yang menghalang lalu lintas sedang giat dijalankan.

“Doakan semoga semua selamat dan tiada yang cedera. Petugas Pusat Khidmat ADUN Batu Buruk sedang turun meninjau keadaan semasa di sini,” katanya menerusi Facebook rasminya sebentar tadi.

Sementara itu, ramalan cuaca negeri oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di seluruh Terengganu dan dijangka berlarutan sehingga 9 malam ini.

Manakala itu, ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah menjelaskan, pihaknya telah bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk segera memeriksa rumah-rumah yang terkesan dan memberikan bantuan dengan segera.

“Jika rumah saudara-saudari terlibat dalam kejadian ribut petang tadi, boleh berhubung segera kepada pengerusi atau mana mana ahli Jawatankuasa JPKK di kampung anda berada.

“InsyaAllah, saya akan turun melihat rumah-rumah yang terkesan mulai awal pagi esok selepas selesai mesyuarat Exco.

“Semoga semua penduduk dalam keadaan selamat. Insya-Allah seperti biasa, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam akan menyampaikan bantuan sewajarnya,” tambahnya menerusi ciapan di halaman Facebook miliknya.