Home Pedoman Haraki

Kronologi Pemerintahan Umat Islam

2081
SHARE

PETIKAN KULIAH JUMAAT AYAH CHIK

KRONOLOGI PEMERINTAHAN UMAT ISLAM

تَكُونُ النُّبُوَّةُ فِيكُمْ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَعُهَا اللهُإِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا، ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِفَتَكُونُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَهُعَا إِذَا شَاءَ أَنْيَرْفَعَهَا، ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا عَاضًّا فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُونَثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَهَعَا، ثُمَّ تَكُونُ مُلْكًا جَبْرِيًّا فَتَكُونُمَا شَاءَ اللهُ أَنْ تَكُونَ ثُمَّ يَرْفَعُهَا إِذَا شَاءَ أَنْ يَرْفَعَهَا، ثُمَّتَكُونُ خِلَافَةٌ عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ. ثُمَّ سَكَتَ

“Berlaku masa kenabian pada kalian selama yang Allah subhanahu wa ta’ala kehendaki, Allah subhanahu wa ta’ala mengangkat atau menghilangkannya bila Allah subhanahu wa ta’ala menghendaki. Lalu akan ada masa khilafah di atas manhaj nubuwwah selama Allah subhanahu wa ta’ala kehendaki, kemudian Allah subhanahu wa ta’ala mengangkatnya jika Allah subhanahu wa ta’ala menghendaki. Lalu ada masa kerajaan yang menggigit selama yang Allah subhanahu wa ta’alakehendaki, kemudian Allah subhanahu wa ta’ala mengangkatnya bila Allah subhanahu wa ta’ala menghendaki. Lalu akan ada masa raja yang memaksa selama yang Allah subhanahu wa ta’ala kehendaki, kemudian Allah subhanahu wa ta’ala mengangkatnya bila Allah subhanahu wa ta’ala menghendaki. Lalu akan ada lagi masa kekhilafahan di atas manhaj nubuwwah.“
[HR Ahmad]

Khilafah di atas manhaj Nubuwwah pertama adalah zaman khulafa ar-Rasyidin. Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Mereka memerintah mengikut dasar dan ajaran yang ditinggalkan oleh Nabi SAW.

Raja yang menggigit pula adalah bermula di zaman Umawiyah, kecuali Umar bin Abdul Aziz. Berlaku beberapa kezaliman dan penindasan di zaman itu.

Raja yang memaksa pula memaksa orang supaya berlaku sesat dan menyeleweng.

Khilafah di atas manhaj Nubuwwah sekali lagi akan berulang. Disebut dalam hadis-hadis yang mutawatir, akan bangkit Imam al-Mahdi daripada zuriat keturunan Nabi SAW. Diturunkan juga Nabi Isa AS bersama memimpin umat di akhir zaman. Baginda sebelum ini diangkat di zamannya dalam peristiwa salib.

Kemunculan ini berlaku setelah bumi ini penuh dengan kezaliman. Akan berlaku peperangan dunia yang besar, al-Malhamah Kubra. Akan muncul al-Masih Dajjal memimpin Yahudi menakluk dunia. Pada masa itulah muncul Imam Mahdi dan juga turun Nabi Isa AS.

Imam Mahdi memerintah beberapa tahun sahaja. Kemudian ia disambung oleh Nabi Isa AS. Baginda diturunkan pada umur 30an, sebagaimana waktu baginda diangkat dahulu.

Terdapat khilaf dikalangan umat Islam berkenaan Imam Mahdi. Syiah mengatakan Imam Mahdi sudah ada, kini bersembunyi di dalam tanah. Syiah Nakhawilah mengatakan Imam Mahdi adalah Muhammad bin Hanafiah, sekarang berada di gunung Radhwa di antara Mekah dan Madinaha. Ada pula kumpulan sufi di India mengatakan Imam Mahdi berada di Gunung Himalaya. Di tempat kita, ada yang kata berada di gunung Jawa.

Kita Ahli Sunnah wal Jamaah berpandangan Imam Mahdi akan lahir sebagaimana manusia biasa. Tiba masanya, beliau akan zahir di Mekah selepas berlakunya huru-hara. Beliau akan memimpin umat Islam di atas manhaj nubuwwah, bersama-sama dengan Nabi Isa AS.

Apa yang Nabi SAW sebutkan ini tidak berlaku lagi. Bila berlaku, tahun apa dalam ilmu Allah Taala. Ia akan berlaku, tetapi hanya Allah yang tahu. Itu urusan Allah bukan urusan kita.

Urusan kita adalah berjuang mengikut masa kita. Ada orang duduk di rumah sahaja tunggu Imam Mahdi. Ini tidak betul. Kita perlu bekerja, beramal mengikut perjuangan yang telah Allah amanahkan kepada kita. Adapun kemenangan adalah kurniaan Allah.

28 Safar 1439
17 November 2017