Home Artikel PAS Pulau Pinang

Bekas Puteri UMNO Di Pentas Ceramah Isu Semasa PAS Permatang Pauh

8820
SHARE

Penulis: Farhanah SAMAGAGAH | 20 NOV 2017 | ISNIN Pentas Ceramah Isu Semasa anjuran Lajnah Penerangan PAS Permatang Pauh terus bergema dan kali ini berlangsung di UPU Samagagah. Pengerusi majlis Jamsari Samad selaku Ketua Penerangan PAS Kawasan memulakan majlis pada jam 9.00 malam Seramai lima orang panel jemputan menyampaikan ceramah yang berbeza-beza isinya. Tiga orang panel tempatan dari Permatang Pauh, Tn Hj Amir Hamzah, TYDP PAS Kawasan, Ustazah Nor Hapiza Saad selaku Ketua Muslimat PAS Kawasan dan Ustaz Mohd Fawwaz Mat Jan selaku Exco Dewan Pemuda PAS Kawasan. Hj Amir dan Ustazah Nor Hapiza banyak menceritakan semula tentang pengalaman gerakerja operasi banjir di Permatang Pauh. Mereka sepakat menyatakan isu banjir telah membuka luas mata masyarakat tentang siapa PAS di mata masyarakat. Ini menjadi bukti bahawa PAS bukan bertujuan semata-mata untuk memancing undi tetapi yang lebih utama ialah kewajipan kita terhadap sesama manusia. Ustaz Fawwaz pula , menekankan tentang betapa kroniknya permasalahan dalam negara dan di negeri Pulau Pinang khasnya, sekaligus mengajak rakyat untuk bersama-sama menyokong usaha PAS membawa penyelesaian mengikut acuan Islam. Panel jemputan seterusnya ialah YB Mohd Azam Abd Samad, Adun Sg Limau. Beliau menyorot kembali tentang penghijrahan nabi kita yang menekankan tentang seluruh aspek kehidupan termasuk tentang ekonomi, pendidikan dan pembangunan. PAS menawarkan penyelesaian masalah cara Islam dalam segala aspek. Sebagai contoh, dapat dilihat kejayaan sistem pendidikan yang diasaskan oleh PAS melalui PASTI dan SRITI. Istimewanya malam ini, Saudari Wan Asshima Kamaruddin, Bekas AJK Puteri UMNO Klang telah sudi turun ke pentas malam ini. Beliau telah berkecimpung dalam Puteri UMNO selama 17 tahun, dan turut mengasaskan sebuah NGO Alifbata Serikandi Masyhur bagi mendalami permasalahan sosial di dalam masyarakat. Beliau melihat sendiri keadaan masyarakat sekeliling yang tenat dengan pelbagai gejala sosial yang berpanjangan. Kerajaan Barisan Nasional (BN) dilihat gagal melaksanakan Islam dalam pentadbiran negara. Penguatkuasa yang sangat lemah walaupun Islam adalah sebagai agama rasmi negara. Beliau melihat RUU 355 wajib disokong oleh semua wakil rakyat Muslim, kerana itu antara cara Islam diangkat ke darjat yang lebih tinggi. “Apabila Islam tidak diletakkan di hadapan, saya tinggalkan mereka. Saya tinggalkan duit dan jawatan kerana nilai Islam sama sekali tidak sama dengan itu semua” kata beliau. Kehadiran pada malam itu juga amat membanggakan, mereka ingin mendengar sendiri bagaimana seorang anak muda seperti Wan Asshima yang bangkit untuk berjuang bersama-sama PAS di saat PAS diserang dan difitnah oleh pihak lawan.