Home Berita PAS Perlis

KORUMS bukti PAS Perlis mesra anak muda

79
SHARE

Oleh AHMAD AZAMUDDIN

ARAU, 4 Okt: Pelancaran Karnival Orang Muda Perlis (KORUMS) jelas membuktikan PAS Perlis sentiasa berusaha untuk menarik minat dan mendekati anak muda secara santai melalui pelbagai platform dan medium yang menarik.

Pelancaran yang bermula edaran “handbill’ kepada anak-anak muda sekitar Perlis itu dimeriahkan lagi dengan acara konvoi bersama Alternative Riding Club (ARC) Perlis menuju ke Sungai Baru bagi upacara gimik pelancaran oleh Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil.

KORUMS yang merupakan produk terbaru DPPNPs menghidangkan pelbagai aktiviti menarik yang akan diadakan di Padang Besar, Kangar dan Arau, antaranya pertandingan karom, memancing, sepak penalti, futsal, permainan dalam talian atau e-games, boling, bola jaring dan badminton.

Ustaz Asrul Aimran ketika ditemui berkata DPPNPs sentiasa proaktif dalam menyedia dan menggerakkan aktiviti-aktiviti kepemudaan selaras dengan tuntutan Islam.

“Alhamdulillah, pelbagai program yang telah kami (DPPNPs) laksanakan mendapat sambutan yang positif dalam kalangan anak muda dan ini menunjukkan betapa mereka di luar sana tidak lagi merasa bimbang mahupun gusar untuk bersama-sama dengan PAS.

“Sebagai contoh, baru-baru ini telah diadakan program Himpunan Anak Muda Perlis (HAMAS) yang mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan dan momentum ini akan cuba kami teruskan lagi menerusi siri-siri KORUMS yang akan diadakan nanti,” katanya.