Home Kenyataan Media PAS Kedah

KoronaVirus : Banyak Soalan perlu dijawab oleh kerajaan

413
SHARE

YB Dato Dr. Mohd Hayati bin Othman

KENYATAAN MEDIA PERHUBUNGAN PAS KEDAH

KORONAVIRUS: BANYAK SOALAN PERLU DIJAWAB OLEH KERAJAAN

1. Koronavirus adalah virus maut yang sedang menakutkan manusia di seluruh dunia. Di negara kita, meskipun belum diisytiharkan secara rasmi penularan virus itu namun berita kemasukan beberapa pelancong China termasuk empat yang telah disahkan dijangkiti koronavirus dan sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, amat menggusarkan.

2. Sebagai sebuah gerakan dakwah dan politik Islam yang berkhidmat secara langsung untuk kepentingan awam, Pas Kedah memerhatikan perkembangan ini dengan penuh rasa bimbang.

Pertama : Wilayah Wuhan di China telah diisyitharkan sebagai kawasan kuarantin dengan 11 juta penduduknya dilarang keluar dari wilayah itu manakala pengunjung dari luar dilarang memasukinya, kenapa kerajaan kita, khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen tidak mengambil tindakan yang sepatutnya menyekat kemasukan pelancong dari Wuhan atau wilayah lain di mana virus itu telah merebak?

Kedua : Pihak berkuasa seharusnya bertindak tegas melarang kemasukan pelancong dari wilayah-wilayah berkenaan apa lagi dalam keadaan dua daripada anggota rombongan yang sama telah dimasukkan ke hospital di Singapura dan disahkan positif angkitan virus itu kemudiannya.

3. Kita memahami bahawa negara kini berada dalam Tahun Melawat Malaysia 2020 namun dalam apa keadaan sekalipun, keselamatan rakyat seharusnya lebih diutamakan. Kerajaan yang bertanggungjawab, tiada kompromi dalam isu keselamatan warganya.Perkara ini berkaitan dengan jangkitan virus atau wabak yang boleh berkembang dalam tempoh singkat dan mungkin menjadi tidak terkawal dalam sedikit masa sahaja.

4. Soal keselamatan petugas hospital juga mestilah diberikan perhatian. Laporan bahawa seorang doktor yang menangani kes koronavirus di Hubei, China disahkan meninggal dunia akibat jangkitan virus itu.
Dalam pada itu, berbelas-belas lagi petugas kesihatan di China dilaporkan telah dijangkiti koronavirus termasuk yang telah memasuki zon kritikal. Daripada laporan berita yang tular, kita melihat bahawa operasi mengendalikan kes jangkitan ini di China dilakukan dengan sangat rapi termasuk memindahkan mereka yang dijangkiti dalam karungan plastik yang bertutup. Persoalannya, adakah petugas kita mempunyai pengetahuan, pengalaman atau kemudahan yang seperti itu untuk memastikan mereka tidak terkena jangkitan?

5. Dalam isu ini, Pas Kedah amat berharap untuk kerajaan lebih prihatin terhadap keselamatan rakyat sendiri berbanding warga luar meskipun dalam keadaan kita mengharapkan peranan mereka untuk motif ekonomi.
Apa yang mahu dijawab oleh kerajaan sekiranya berlaku perkara tidak diingini terhadap anggota pasukan perubatan kita yang bersebab dengan operasi merawat warga asing ini?

6. Mujurlah cadangan untuk menarik balik elaun kritikal mereka tidak jadi dilaksanakan setelah mendapat kritikan daripada pembangkang.
Jika tidak, bagaimana agaknya pemimpin kerajaan mahu menjawab mengenai risiko ditanggung petugas-petugas kesihatan dalam kes seumpama ini?

7. Pas Kedah berpendapat, tindakan Kerajaan Filipina menghantar balik 500 pelancong dari Wuhan adalah lebih bertanggungjawab dan menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat sendiri. Sebagai rakyat negara ini, kita mengharapkan tindakan yang serupa daripada Kerajaan Malaysia.
Kita tertanya-tanya mengapa warga asing yang datang dalam keadaan mencurigakan, setelah dua anggota rombongan mereka dimasukkan ke hospital di Singapura – bukan sahaja dibenarkan memasuki negara ini malah dirawat di hospital kerajaan pula?

8. Pas Kedah memahami bahawa Hospital Sungai Buloh (HSgB) memiliki kemudahan penyelidikan dan rawatan penyakit berjangkit namun itu bukanlah alasan untuk memberikan sebarang keistimewaan terhadap warga asing yang membawa virus berjangkit.
Mereka seharusnya dihantar pulang segera daripada memberikan risiko yang boleh mendatangkan mudarat kepada negara ini.
Hospital kerajaan dibina dan dibiayai dengan wang rakyat untuk kepentingan rakyat. Rakyat akan mempersoalkan tindakan kerajaan dalam kes ini di sebalik kenyataan demi kenyataan mengenai peningkatan kos perubatan yang dijadikan asbab untuk subsidi kesihatan terpaksa dikurangkan atau ditarik balik oleh kerajaan.

9. Mengikut hukum Islam, adalah berdosa bagi pemimpin yang membiarkan mereka dari wilayah yang telah dikenal pasti sebagai punca virus memasuki wilayah kekuasaannya dan mendatangkan mudarat kepada rakyatnya. Terdapat dalil qat’iyy dan sorih yang boleh menjelaskan perkara ini, iaitu kemudaratan terhadap manusia wajib dicegah daripada merebak.

10. Marilah kita semua renungkan bahawa di sebalik apa juga kejadian, pasti ada sesuatu yang Allah SWT mahu peringatkan kita sama ada untuk muhasabah ataupun sebagai kafarah. Justeru, dahulukan setiap tindakan dengan mengingati Allah sebagai Maha Pembalas dan Maha Penghukum.
Wallahua’lam.

YB Dato Dr Mohd Hayati bin Othman
Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah

26 Januari 2020 / 1 Jamadil Akhir 1441H