Home Berita PAS Perlis

Berkorbanlah Demi Tuhanmu

893
SHARE

Oleh: Nur ‘Iffah

Sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut pada 10 Zulhijjah merupakan kemuncak perayaan bagi umat Islam dalam bulan yang terkandung di dalamnya dua ibadah – ibadah haji dan korban.

Bersempena dengan kedatangan hari yang penuh mulia dan berkah ini, marilah kita bersama-sama menyingkap semula lipatan sirah kehidupan para anbiya’.

Nabi Ibrahim A.S. diuji dengan perintah Allah supaya meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail A.S. di tengah padang pasir yang kering kontang dan tidak berpenghuni. Setelah itu, Baginda diuji lagi dengan perintah mengorbankan puteranya yang telah sekian lama tidak bertemu.

Perintah dan ujian ini yang Allah berikan untuk Nabi Ibrahim A.S. ini bukanlah bertujuan penganiayaan tetapi penuh dengan hikmah dan pengajaran yang perlu dijadikan iktibar.

Peristiwa ini mengajar kita untuk meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah S.W.T. Di sisi Allahlah sebaik-baik tempat meletakkan harapan dan keyakinan. Seandainya kita bergantung selain daripada Allah, maka ketahuilah bahawasanya kita sedang bersandar dengan sesuatu yang sangat lemah serta bersifat sementara.

Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW:

“Sangat ajaib keadaan seseorang yang beriman, sesungguhnya segala urusannya adalah baik, dan itu tidak terjadi kepada seseorang kecuali hanya bagi orang yang beriman. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, maka demikian itu kebaikan buatnya. Dan jika dia mendapat kesusahan, dia bersabar, maka demikian itu adalah kebaikan buatnya.”
(HR Muslim)

Allah S.W.T. memerintahkan kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W menjadikan Nabi Ibrahim A.S. sebagai ‘role model’ dalam memanifestasikan erti sebenar sebuah pengorbanan.

Rebutlah peluang untuk menjadikan hari ini sebuah kesempatan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengeratkan lagi kasih sayang serta semangat persaudaraan Islam yang membawa berkat kepada kehidupan di dunia dan keselamatan di Hari Akhirat.

Semoga setiap amalan kebaikan yang dilakukan bermula dari menjelangnya anak bulan Zulhijjah hingga ke hari raya Aidil Adha, dapat melahirkan anggota masyarakat yang patuh serta tunduk pada perintah Allah SWT dan rasulnya.