Home Artikel PAS Sabah

Konvoi dan ziarah kemerdekaan perkuat silaturahim

312
SHARE

Oleh : Ridwan Asmi
1 September 2020

LIBARAN : Seperti tahun – tahun sebelumnya, PAS Libaran sekali lagi menganjurkan konvoi dan ziarah kebajikan sempena hari kemerdekaan yang diadakan di Peringkat 6, Kampung Sungai Manila, di sini, semalam.

Program yang dianjurkan oleh Lajnah Penerangan & Hubungan Media dengan kerjasama Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan itu dimulakan dengan memasang jalur gemilang di semua kenderaan peserta yang mengikuti konvoi.

Setelah itu, barulah meneruskan perjalanan ke destinasi program untuk menyerahkan jalur gemilang dan bantuan kebajikan untuk penduduk dan golongan asnaf di kampung tersebut.

Dalam ucapan Yang Dipertua PAS Libaran, Abdul Waheed Mohamad menjelaskan bahawa PAS merupakan sebuah parti politik yang berteraskan Al Quran dan As Sunnah disamping berpegang pada tiga elemen iaitu siasah, dakwah & tarbiyah.

“PAS juga bukan parti yang hanya berfokuskan politik dan pilihanraya semata – mata, tetapi juga mementingkan kebajikan masyarakat yang terbukti dengan bantuan kecemasan semasa arahan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan beberapa bulan lepas.” Jelas Abdul Waheed.

Program ini bertambah menarik apabila lebih kurang 30 borang ahli baru diserahkan daripada penduduk bagi menubuhkan cawangan di kampung tersebut.

Turut hadir bersama dalam program ini adalah Timbalan dan Naib Yang Dipertua PAS Libaran, Zulkifli Mohamad dan Nasrudin Lahapin serta wakil daripada dewan pemuda dan muslimat.