Home Kenyataan Media PAS Negeri Sembilan

Konvensyen Penerangan | PAS belajar daripada kesilapan PRU 14

37
SHARE
Haji Rafiei bin Mustapha
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan

Faktor kekalahan PAS di beberapa buah negeri terutama di pantai barat Semenanjung Malaysia, dikaitkan dengan lumpuhnya jentera media menjelang hari PRU-14. Malah pendekatan kurang agresif team media sosial (MEDSOS) menyebabkan maklumat penting tidak sampai atau lambat sampai kepada masyarakat.

Justeru, membentuk persepsi yg menampakkan kelemahan PAS dalam pelbagai aspek, terutama dalam menjawab tuduhan dan fitnah bertali arus daripada media PH yang nampak lebih teratur daripada segi strateginya.

Kesilapan yang sama tidak akan berulang terutama menjelang PRU ke 15. PAS mengorak langkah untuk mengatasi kelemahan tersebut, dengan merombak dan menyusun semula jentera pasukan media sosialnya secara drastik dan terancang.

Pembentukan pasukan pelaksana dalam MEDSOS dengan penglibatan para pengamal media yang profesional dan beriltizam membawa kepada langkah penstrukturan semula organisasi MEDSOS. Usaha diambil untuk menggembleng secara lebih aktif dan meluas pegawai media rasmi kerajaan dan Kementerian yang diterajui PAS.

Konvensyen Penerangan dan Media Baharu 2021 yang berlangsung selama 2 hari pada 18 dan 19 Jun secara maya adalah manifestasi kesungguhan PAS Pusat dalam mentransformasikan pendekatan dan kaedah penyebaran maklumat secara sistematik dan berkesan seperti yang ditegaskan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat dalam pembentangan beliau.

Konvensyen ini berjaya memberi pendedahan dan hala tuju baru kepada tenaga dan jentera Penerangan PAS di semua peringkat.

Naib Presiden PAS, YB Senator Ustaz Idris Ahmad turut memberi sumbangan bermakna daripada segi pentingnya media baru seperti Whatsapps, Facebook, Instagram, Tweeter dan lain-lain dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat, khususnya generasi muda.

Pimpinan PAS perlu memanfaatkannya supaya sentiasa berada di pentas alat penyebaran maklumat yang terkini yang mendapat perhatian ramai seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam sesi perasmian penutup Konvensyen.

Kehadiran pimpinan PAS Pusat dan negeri-negeri serta dewan-dewan dalam konvensyen ini diharapkan akan menjadi pemangkin kepada jentera penerangan PAS dalam menyebarkan maklumat dengan tepat dan sampai kepada sasarannya.

Usaha yang bersungguh-sungguh ini telah pun bermula setahun yang lalu dan konvensyen yang diadakan ini adalah kemuncak yang mengesahkan kesungguhan PAS menggembleng tenaga dan kepakaran Unit Media di setiap negeri.

Langkah ini turut mengangkat peranan Lajnah Penerangan dan Media Baharu di setiap negeri ke suatu tahap yang membolehkannya memainkan peranan penting menjelang PRU ke 15 nanti.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Ketua Penerangan PAS Pusat serta negeri-negeri yang memberikan komitmen begitu tinggi untuk menjayakan dengan cemerlang konvensyen tersebut.

HAJI RAFIEI MUSTAPHA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan