Home Kenyataan Media PAS Johor

Konsisten dengan Islam memperkukuh kemenangan

56
SHARE

KENYATAAN MEDIA PEMUDA PAS JOHOR

KONSISTEN DENGAN ISLAM MEMPERKUKUH KEMENANGAN

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor merasa terpanggil untuk menyambut baik akan kecaman Ketua Penerangan PAS terhadap kenyataan tidak bertanggungjawab oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memaksudkan bahawa PAS merupakan parti ekstremis dan primitif yang menghalang pilihan para wanita untuk bebas memilih gaya pemakaian dan keterampilan. (merujuk kepada pautan)

https://www.themalaysianinsight.com/index.php/s/354765

2. Lebih dikesalkan, serangan terhadap PAS yang dibuat merujuk kepada pemakaian MP Segambut berbaju kurung dan berselendang dalam lawatan kerjanya ke beberapa komuniti termasuk sebuah masjid, dilihat sangat tidak relevan.

3. Ini kerana isu tersebut dibangkitkan oleh Guan Eng sendiri dalam keadaan PAS secara rasminya menyambut baik sebarang usaha untuk mewujudkan keharmonian dan penghormatan antara kaum, malah tidak membangkitkan langsung soal gimik politik yang menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

4. Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nilai demokrasi sosial melalui sistem parlimen berperlembagaan, Guan Eng sepatutnya merujuk terlebih dahulu kepada beberapa pimpinan DAP beragama Islam kerana perintah melindungi aurat (etika berpakaian) dan maruah diri adalah wajib menurut panduan suci umat Islam iaitu al-Quran, antaranya melalui surah an-Nur ayat ke 31:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Mafhumnya: “katakanlah kepada para wanita yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka”

5. Usaha mengekstrimkan PAS melalui isu pemakaian ini hanya menggambarkan DAP sebagai parti haluan kiri yang membenarkan bahawa Islam itu agama ekstrim, seterusnya menafikan kesucian al-Quran sebagai sumber syariat bagi majoriti rakyat beragama Islam di Malaysia, malah membelakangi Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang jelas memperuntukkan bahawa Islam sebagai agama persekutuan negara.

6. Tidak lupa, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor menyeru kepada para pimpinan DAP beragama Islam agar meyakini bahawa penyelesaian Islam merangkumi setiap aspek hidup manusia tanpa memisahkan sebahagiannya mengikut selera manusia, yang akhirnya menjerumus ke arah sekularisme, usaha membangunkan tamadun insan tanpa batas pedoman.

7. Usahlah cetuskan api kebencian di tengah damainya integrasi dan perpaduan. Berpolitiklah dengan penuh integriti tanpa memangsakan rakyat. Apapun serangan yang dihadapkan, PAS tetap konsisten dengan Islam memperkukuh kemenangan dalam siri pilihanraya akan datang tanpa gimik picisan. Inilah pendirian kami!

Terima kasih.

MOHAMAD NAQIB MOHD BAKHUDIN

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.

#IslamMemperkukuhKemenangan

#MemacuPerpaduan