Home Kenyataan Media PAS Terengganu

Komitmen PAS Selesaikan Isu Pemilikan Rumah Bakal Untungkan Rakyat

1804
SHARE

Kenyataan Media

19 Disember 2017 | 30 Rabiul Awal 1439H

KOMITMEN PAS SELESAIKAN ISU PEMILIKAN RUMAH BAKAL UNTUNGKAN RAKYAT

1. Isu pemilikan rumah terutamanya oleh kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) dilihat masih gagal untuk diselesaikan sehingga kini.

2. Sedangkan, punca utamanya sudah sangat jelas dan diakui pelbagai pihak; iaitu, (i) harga¹ rumah yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan pendapatan, dan (ii) kekurangan bekalan² rumah mampu milik dalam pasaran .

3. Ditambah pula dengan kompleksiti industri perumahan³ di negara ini sehinggakan mewujudkan peluang kepada pihak tertentu untuk mengaut keutungan atas angin di atas bebanan yang perlu ditanggung oleh pembeli.

4. Isu ini sebenarnya boleh sahaja diselesaikan, dengan syarat sesebuah kerajaan itu hendaklah (i) memiliki kemahuan politik yang bersungguh, dan (ii) menggunakan kaedah Islam yang adil untuk semua.

5. PAS sangat komited mahu menyelesaikan isu pemilikan rumah ini bukan sahaja kerana memahami bahawa kediaman merupakan salah satu keperluan asasi manusia, bahkan kerana menyedari bahawa status pemilikan rumah juga sangat memberikan kesan ke atas pembentukan struktur sosial dan politik sesebuah masyarakat.

6. Nabi s.a.w. juga bersabda :

( مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ : الْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ )

“Antara punca kebahagiaan seseorang ialah jiran yang baik, kenderaan yang selesa dan kediaman yang lapang”. – Hadis riwayat Ahmad dan dinilai Sahih oleh Albani.

7. Oleh demikian, PAS telah menterjemahkan komitmen ini dalam manifesto seperti berikut untuk ditawarkan kepada rakyat dalam PRU14 akan datang :

(a) Setiap rakyat Terengganu berumur 21 tahun ke atas yang layak berhak mendapatkan 1 lot tapak rumah kediaman atau 1 unit rumah kediaman.

(b) Memperuntukkan RM50 juta setahun untuk Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat.

8. Saya juga sebelum ini ada menyuarakan⁴ beberapa kaedah bagi menyelesaikan isu ini antaranya melalui penggubalan akta tertentu bagi mengawal harga rumah, pelaksanaan pinjaman qard al-hassan dan pengenalan sukuk al-ijarah dalam proses pembiayaan perumahan serta pembukaan kampung-kampung baharu.

9. Saya percaya, apabila PAS terus diberikan mandat dalam siri pilihan raya umum akan datang, lebih banyak manfaat yang akan dinikmati oleh rakyat di negara ini dan isu pemilikan rumah ini akan dapat diselesaikan dengan sebaiknya.

Sekian.

”Sejahtera Bersama Islam”

YB. DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
AJK PAS Pusat / Ahli Parlimen Kuala Nerus

_

¹ Harga purata rumah pada 2016 yang sudah mencecah RM387,258.00 seunit dikategorikan sebagai ‘amat tidak mampu milik’ dan hanya layak untuk dimiliki oleh kumpulan isi rumah yang berpendapatan sekurang-kurangya RM10,757.00. Sedangkan, kumpulan B40 dan M40 hanya berpendapatan purata RM2,848.00 dan RM6,502.00 sebulan.

² Secara unjurannya, bagi tempoh 2016 hingga 2020, negara ini memerlukan 653,000 buah rumah mampu milik (RMM) atau 130,000 buah RMM setahun bagi memenuhi permintaan. Namun, bekalan RMM pada masa ini secara puratanya hanya 60,000 buah sahaja setahun. Bahkan, dari 2016 hingga suku pertama 2017, hanya 21% pelancaran baharu terdiri daripada rumah berharga di bawah RM250,000.

³ Saya sejak 2015 lagi telah menegaskan supaya ada usaha dilaksanakan untuk menyemak dan menstrukturkan semula industri perumahan dalam negara kita melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan berkenaan serta pemaju dan persatuan berkaitan bagi mengawal kenaikan harga rumah dalam pasaran dan memastikan bekalan mencukupi permintaan.

⁴ Sila rujuk : (i) http://drtakiri.blogspot.my/2015/11/rumah-mampu-milik-kekang-harga-semak.html (ii) http://drtakiri.blogspot.my/2016/09/tabung-qard-al-hassan-bantu-rakyat.html, dan (iii) http://drtakiri.blogspot.my/2017/10/sukuk-ijarah-agihan-lot-tanah-sebagai.html