Home Berita PAS Melaka

Komedi hina Islam : Tidak mustahil ada dalang di belakangnya – Kintan Man

277
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 15 Jul : Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka (DMPNM), Kintan Man berkata, tidak mustahil ada dalang di sebalik tindakan sesetengah individu yang menghina Islam melalui persembahan-persembahan di pusat-pusat hiburan.

Jelas beliau, kemungkinan apa yang berlaku ini adalah sesuatu yang terancang dan didalangi pihak-pihak tertentu yang memang bertujuan untuk menghina Islam.

“Kerajaan perlulah mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang bukan sahaja kepada individu tersebut, tetapi juga kepada penganjur, terutamanya ke atas dalang di sebalik perbuatan yang jelas menghina Islam,” ujar beliau.

Tambahnya, hukuman yang setimpal harus diberi atas perlakuan yang menghina Islam serta mencabar kedaulatan Perlembagaan ini kerana Islam adalah Agama Persekutuan dan termaktub dalam Perlembagaan.

Foto tangkap layar video Siti Nuramira yang tular

Kintan berkata demikian ketika dihubungi WARM-Berita PAS bagi mengulas tentang kejadian seorang wanita, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang membuat persembahan pentas komediri menghina Islam di mana videonya tular di media-media sosial sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

“Saya merasa amat kesal di atas perkara yang telah berlaku. Di dalam Perlembagaan Negara, Islam adalah Agama Persekutuan wajiblah dihormati oleh semua dan diamalkan mengikut syariat oleh semua penganut Agama Islam,” ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa untuk mengelakkan kejadian seperti ini daripada berleluasa umat Islam wajib diberi pendidikan fardu ain khususnya berkaitan akidah dan tauhid semantapnya.

“Subjek akidah iaitu tauhid sewajibnya diletakkan pada waktu pagi di mana minda pelajar masih segar untuk menerima Ilmu dan bukan seperti sekarang sekolah agama diletakkan pada waktu sebelah petang.

“Akidah mestilah menjadi tunjang kepada ilmu supaya pelajar Islam terdidik dengan jati iman yang kukuh, tidak dapat dirobek oleh apapun anasir yang cuba merosakannya,” ujarnya lagi.

Siti Nuramira ketika dibawa ke mahkamah untuk didakwa (kredit foto Google)

Siti Nuramira telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas tuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan orang Islam.

Mengikut pertuduhan, Siti Nuramira didakwa mengaku seorang Muslim dan menghafal 15 juzuk al-Quran kemudian membuka tudung dan menanggalkan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas di Restoran Crack House Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Brickfields pada 4 Jun lalu, jam 6 petang.

Sementara itu, pelawak Rizal van Geyzel yang merupakan pengasas bersama Crackhouse Comedy Club juga telah ditahan bagi membantu siasatan berkait tiga video yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum dan agama dan dijangka akan didakwa di mahkamah.

Beberapa imej dan video berkaitan Rizal van Geyzel yang menimbulkan kemarahan umat Islam