Home Artikel PAS Selangor

Kolumnis Haraki | Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor – Memperanankan Dialog Antara Penganut Agama Dan Kaum

257
SHARE

▪️Peluang Memberi Penjelasan Menurut Perspektif Islam

Dialog agama ini merupakan salah satu medium untuk mewujudkan keharmonian di kalangan masyarakat yang pelbagai anutan agama.

Justeru ia mempunyai beberapa etika yang khusus bagi mencapai tujuan dialog antara agama tersebut. Walaupun begitu, tujuan secara tersirat dalam peluang dan ruang dalam berdakwah bagi penganut agama Islam dan berdakyah bagi penganut agama selain Islam. Sebab itu disebutkan bahawa dari segi zahirnya adalah tujuan yang baik iaitu untuk mencapai keharmonian agar tidak mewujudkan permusuhan di antara satu sama lain.

Dalam masa yang sama, dari segi tersirat ia memberikan ruang yang positif kepada penganut Islam untuk memahamkan penganut agama yang lain mengenai ajaran agama Islam. Namun begitu, peluang ini juga menjadi ruang yang terbuka kepada penganut selain Islam untuk menyampaikan kefahaman ajaran mereka agar diterima benar sama ada dari sudut kelakukan manusia yang berasaskan akidah selain Islam yang mereka anuti.

Merujuk kepada dialog antara penganut agama khususnya, ia sudah lama dilakukan bahkan di zaman Nabi Muhammad SAW diperintahkan untuk berdialog dengan orang non-Muslim antaranya pihak Mushrikin Mekah dan Yahudi.

Firman ALLAH SWT :  

قُلۡ یَـٰۤأَهۡلَ ٱلۡكِتَـٰبِ تَعَالَوۡا۟ إِلَىٰ كَلِمَةࣲ سَوَاۤءِۭ بَیۡنَنَا وَبَیۡنَكُمۡ أَلَّا نَعۡبُدَ إِلَّا ٱللَّهَ وَلَا نُشۡرِكَ بِهِۦ شَیۡـࣰٔا وَلَا یَتَّخِذَ بَعۡضُنَا بَعۡضًا أَرۡبَابࣰا مِّن دُونِ ٱللَّهِۚ فَإِن تَوَلَّوۡا۟ فَقُولُوا۟ ٱشۡهَدُوا۟ بِأَنَّا مُسۡلِمُونَ

Maksudnya :
“Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali ALLAH dan tidak kita menyekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain ALLAH”. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada ALLAH)”. – Surah Ali-Imran : 64

Ayat al-Quran di atas adalah salah satu gambaran mengenai perintah berdialog dengan penganut agama selain Islam dalam memberikan pandangan agar mereka mampu menilai seterusnya mencari kebenaran yang sebenar. Dialog yang diadakan adalah dalam keadaan yang harmoni dan di samping itu menyatakan kebenaran.

Ia berbeza dengan konsep debat yang menunjukkan kedua-dua pihak atau lebih saling mencabar di antara satu sama lain bagi menunjukkan kebenaran yang dibawa. Hal ini dapat dilihat berdasarkan ayat al-Quran melalui firman ALLAH SWT :

وَإِن كُنتُمۡ فِی رَیۡبࣲ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُوا۟ بِسُورَةࣲ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُوا۟ شُهَدَاۤءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِینَ ۝  فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُوا۟ وَلَن تَفۡعَلُوا۟ فَٱتَّقُوا۟ ٱلنَّارَ ٱلَّتِی وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُۖ أُعِدَّتۡ لِلۡكَـٰفِرِینَ

Maksudnya :
“Sekiranya kamu ragu-ragu terhadap apa yang Kami turunkan ke atas hamba-Kami (Muhammad) maka datangkanlah satu surah yang sama seperti surah (yang terdapat di dalam al-Quran) dan serulah saksi-saksi kamu sekalian selain ALLAH (yang kamu sembah) sekiranya kamu adalah pihak yang benar. Maka sekiranya kamu tidak mampu bahkan kamu sesekali tidak akan mampu maka takutilah akan api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-bata. Nereka tersebut disediakan bagi mereka yang ingkar (akan agama Islam).” – Surah al-Baqarah : 23-24

Justeru, dialog antara agama adalah medium bertukar-tukar pandangan oleh wakil-wakil agama yang dijemput dalam membincangkan sesuatu isu. Medium ini memberikan ruang kepada setiap wakil agama untuk memberikan hujah dan idea berteraskan ajaran agama masing-masing bagi mewujudkan keharmonian di antara agama yang ada. Selain itu, secara tersiratnya ia medium bagi memberikan penjelasan sesuatu isu menurut perspektif Islam.

Konsep dialog ini berbeza dengan konsep berdebat walaupun dari segi tersiratnya matlamatnya adalah sama iaitu menyatakan kebenaran. Cuma dalam konsep dialog setiap wakil bebas daripada dikritik, dipatahkan hujah serta dicabar oleh pihak satu lagi sebagaimana dalam konsep debat. Ia dapat dilihat kepada contoh di zaman Nabi Muhammad SAW dalam 2 ayat di atas sebelum ini.

▪️Wujudkan Keharmonian & Kesefahaman Perpaduan

Tidak dinafikan ruang kebebasan beragama akan lebih harmoni dan mewujudkan suasana toleransi yang terbaik di kalangan penganut agama di Malaysia khususnya memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri dengan masyarakat majmuk. Sehubungan itu, pastinya masyarakat majmuk mencirikan kepelbagaian agama.

Bahkan dalam Perlembagaan Perkara 3 (1) menyebutkan bahawa :

“Islam ialah agama Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Dalam konteks Malaysia, agama mempunyai kaitan rapat dengan pengenalan kaum. Kaum majoriti adalah Melayu yang beragama Islam, diikuti kaum Cina yang beragama Buddha, Konfucius dan Taoisme serta kaum India yang beragama Hindu dan lain-lain. Agama Kristian merupakan agama yang sedang berkembang merentasi kaum. Populasi Muslim adalah seramai 60.4%, manakala bukan Islam sebanyak 39.6% yang mana Kristian (9.1%), Buddha (19.2%), Hindu (6.3%), Konfucius dan lain-lain (5.0%) (Bureau of East Asian and Pacific Affairs) (lihat Indrajit dan Logan, 2008).

Sehubungan itu, dialog antara agama merupakan salah satu konsep menjaga agama menurut Maqasid Syariah. Selain objektif dialog tersebut untuk mencapai keharmonian antara penganut-penganut agama yang ada, ia merupakan peluang kepada wakil bagi agama Islam yang memberikan pandangan untuk menyampaikan dakwah kepada wakil serta pendengar dari kalangan penganut selain agama Islam. Konsep ini adalah bertepatan dengan perintah ALLAH SWT yang menyuruh agar semua manusia kembali kepada ALLAH SWT.

Firman ALLAH SWT :

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِیلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِی هِیَ أَحۡسَنُۚ

Maksudnya :
“Serulah (berdakwahlah) ke jalan Tuhan kamu dengan berhikmah, memberikan peringatan yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan perkara yang terbaik.” – Surah al-Nahl : 125

Maka medium dialog antara agama menjadi jihad kontemporari yang cukup penting. Selain mempertahankan kebenaran mengenai ajaran agama Islam mengenai isu yang diperbincangkan ia juga dapat memurnikan kefahaman yang salah terhadap agama Islam yang ditanggapi oleh penganut selain Islam sebelum ini. Tambahan lagi, dalam medium inilah Islam dapat berhadapan dengan wakil-wakil penganut agama selain Islam secara terus dan mencipta satu peluang dakwah yang cukup besar.

Namun begitu, penjagaan sesuatu perkara yang asas yang dipanggil dharuriyat al-Khams berdasarkan Maqasid Shariah, ia perlu dilihat kepada 2 aspek iaitu dari sudut positif dan negatif. Bermaksud, peluang berdakwah adalah dari sudut positif yang ada namun bagaimana pula dengan dari sudut negatif iaitu dalam memastikan pendengar dari kalangan agama Islam untuk menjaga akidah mereka agar tidak terpengaruh dengan ajaran agama selain Islam? Ini adalah persoalan yang cukup penting untuk diperhatikan.

Ia juga dapat dikaitkan dengan peruntukan kuasa kawalan yang diberikan dalam Perlembagaan bagi menjaga akidah orang Islam iaitu dalam Perkara 11 (1) Perlembagaan memperuntukkan bahawa :

“Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”

Perkara 11 (4) Perlembagaan memperuntukan :

“Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.”

Maka persoalan bagaimana untuk aplikasi menjaga agama dalam konteks dialog antara agama secara terbuka di Malaysia akan dibincangkan dengan lebih lanjut bagi melihat keperluan dan keutamaan agar mampu memanfaat peluang dan menutup ruang dakyah ke atas akidah orang Islam. Hal ini demikian kerana kerana matlamat utama dalam Maqasid Syariah dalam setiap peringkat perkara yang asas termasuk menjaga agama iaitu menolak kemudaratan dan membawa kemaslahatan.

Dalam konteks dialog antara penganut agama dan kaum dilihat satu usaha yang baik dalam mengembangkan fahaman ajaran Islam agar masyarakat selain Islam mampu mengenali Islam dengan wajah yang sebenar. Di samping itu, dialog seumpama ini juga menjadi medium dalam memastikan keharmonian akan terus berlaku di antara penganut-penganut agama yang ada di Malaysia dengan meraikan kebebasan beragama yang diberikan oleh syarak dan peruntukan yang telah disediakan dalam Perlembagaan.

Walaupun dialog antara agama ini telah pun disebut oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Utusan Malaysia bertarikh 6 Ogos 2008) untuk memperkasakannya bagi mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan kepelbagaian agama yang dianuti, namun sehingga kini ia masih kurang berlaku secara realiti.

Sebelum ini, minggu pertama bagi setiap bulan Februari telah diisytiharkan sebagai Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia. Pengisytiharan ini diterima sebulat suara di Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu pada 20 Oktober 2010. Di Malaysia Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut-pengaut Agama (JKMPKA) merupakan pihak yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan melaksanakan program bagi minggu tersebut bersama-sama dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta kerjasama lain-lain Agensi Kerajaan dan NGO-NGO agama. (JKMPKA, 2013)

▪️Kepentingan Berdialog Antara Penganut Agama Dan Kaum

Tulisan Khairulnizam Mat Karim yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia bertarikh 5 Januari 2008 menerangkan bahawa betapa pentingnya dialog seumpama ini dilakukan dalam Malaysia memandang Malaysia mempunyai masyarakat yang menganut pelbagai agama yang didahului majoritinya oleh penganut agama Islam. Beliau menjelaskan bahawa pentingnya dialog antara agama ini diperluaskan agar keharmonian dalam masyarakat di Malaysia dapat dikecapi. Dialog antara agama ini menjadi medium perbincangan antara penganut-penganut agama bagi sesuatu isu yang dipersetujui.

Bahkan menurut beliau berdasarkan kajian mengenai perlaksanaan dialog antara agama di negara ini yang bertajuk “Realiti Dialog Antara Agama di Malaysia: Kajian Terhadap Inter-Faith Spiritual Fellowship (INSaF) dan Pusat Dialog Peradaban (PDP)” pada tahun 2005, penelitian yang objektif terhadap perkembangan dialog antara agama di negara ini khususnya dua organisasi yang dikaji, Dialog Antara Agama bukan lagi dilihat sebagai aspek sampingan dalam hubungan agama mahupun aspek keagamaan semata-mata.

Realitinya harus dilihat sebagai satu keperluan untuk mencapai kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan di dunia global dan kosmopolitan yang berbilang agama, bangsa dan budaya khususnya seperti di Malaysia. Jelas ia menunjukkan bahawa betapa musthaknya dialog antara agama bagi mengenali dan memahami sesuatu isu yang disepakati antara agama yang pelbagai bagi memajukan sesuatu perkara dan menangani masalah bersama.

Ditambah lagi dengan penyiaran berita dalam Berita Harian bertarikh 4 September 2012, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), Prof Datuk Dr Osman Bakar, menegaskan kepentingan dialog antara agama demi mengukuhkan perpaduan rakyat bagaimanapun mengakui usaha itu perlu didasari garis panduan serta peraturan. Beliau turut menegaskan bahawa dialog yang dilakukan mestilah terdiri daripada panel yang berwibawa dan berautoriti dalam perbincangan.

▪️Ke Arah Menjayakan Dialog Secara Beretika

Terdapat kertas kerja oleh Dr Sahl bin Rifa’ bin Suhail al-‘Utaibi yang memberikan penekanan terhadap batasan dalam berdialog dengan non-Muslim. Perbahasan tersebut juga merujuk kepada dialog antara agama. Beliau turut menjelaskan kepentingan dalam dialog antara agama tersebut antaranya ialah :

1. Menerangkan pandangan Islam dan menghilangkan keraguan ke atas Islam.
3. Mencari titik persefahaman dalam sesuatu isu dengan merapatkan jurang perbezaan yang sedia ada.

Selain itu, batasan yang diletakkan dalam berdialog antara agama ialah tidak melibatkan perkara pokok dan dasar dalam agama. Hal ini bermaksud tiada sebarang kompromi atau bertolak ansur dalam perkara-perkara tersebut antaranya ialah :

1. Tidak ada ruang untuk merubah akidah dan keperibadian seseorang muslim.
2. Tidak dibenarkan bertolak ansur dalam perkara akidah dan perkara pokok serta dasar dalam Islam atas nama toleransi atau bertimbang rasa.
3. Tidak ada ruang perbincangan yang menjerus ke arah kebatilan dan syubhah seperti seruan ke arah kesatuan agama, pluralisme dan sebagainya

Beliau lebih menekankan batasan dalam konteks perbincangan yang dilakukan agar dialog antara agama ini tidak menjadi medium seruan dakyah ajaran selain Islam ke atas umat Islam. Hal ini demikian kerana tujuan dialog antara agama sebagaimana yang telah dijelaskan oleh beliau antaranya untuk menyebarkan dakwah Islam dan menghilangkan perkara syubhah dalam kefahaman Islam. Maka sekiranya batasan ini tidak dijaga maka tidak ada faedah dialog tersebut dilakukan.

Terdapat juga kertas kerja yang ditulis oleh Dr Sa’d ‘Ashur berkenaan batasan dan etika dalam dialog. Beliau lebih membawa kepada dialog yang umum sama ada dalam konteks agama yang sama dan berlainan agama. Hal ini demikian kerana dialog merupakan perkara kebiasaan dalam kehidupan manusia dan ia menjadi seruan dakwah apabila intipati dialog tersebut merujuk kepada apa yang disampaikan ke arah seruan Islam.

Disebabkan itu beliau membawa method dialog berdasarkan al-Quran al-Karim berdasarkan kisah-kisah yang berlaku antaranya dialog dengan pihak munafik, mushrik, kafir dan Ahli Kitab. Kesemua bentuk dialog ini dapat dilihat bagaimana al-Quran al-Karim menceritakannya secara satu persatu.

Penekanan beliau dalam batasan dan etika dalam konteks dialog yang dijalankan ialah :

1. Elakkan perbincangan dalam konteks yang sememang wujud perbezaan secara semulajadi dan menumpukan pada konteks yang difahami bersama
2. Perbincangan yang dilakukan tidak lari fokus isu atau persoalan yang dibincangkan bagi mengelakkan perlakunya perbezaan yang membawa kepada pergaduhan bukan kepada persepakatan.
3. Panel yang terlibat mestilah pihak yang berautoriti bukan dari kalangan yang tidak memiliki ilmu dan pengetahuan.
4. Bersetuju dalam perkara yang disepakati dan bertolak ansur (berlapang dada) dalam perkara yang tidak disepakati
5. Bersetuju dalam konteks yang tetap dan dasar serta perlara yang elok untuk diterima pakai.
6. Dialog berdasarkan hujah dan fakta bukan emosi.
7. Panel mestilah berautoriti dalam mengulas dengan memiliki kefahaman yang jelas mengenai isu yang dibincangkan.
8. Elak daripada menurut secara membuta tuli terhadap sesuatu perkara apatah lagi perkara yang tidak betul
9. Mengelakkan pertikaian di atas perkara yang boleh berbeza pandangan
10. Menggariskan objektif dan matlamat bagi sesuatu persoalan yang dibincangkan.

Garis panduan dan batasan yang diberikan oleh beliau adalah dalam bentuk dialog yang umum dan ia diterima pakai. Bahkan jika dilihat maka ia tidak bertentangan dengan apa yang telah disebut oleh Dr Sahl bin Rifa’ bin Suhail al-‘Utaibi.

▪️Elak Dialog Dimanipulasi Sehingga Merugikan Islam

Ketegasan dalam batasan yang dinyatakan oleh ulama-ulama dalam konteks dialog antara agama adalah bagi menjamin keharmonian yang ingin disepakati bersama dalam satu-satu isu di samping menyatakan pandangan menurut perspektif Islam yang sahih kepada penganut agama selain Islam. Disebabkan itu, sekiranya terdapat aspek atau faktor yang merugikan dalam dialog antara agama maka tidak wajar dialog tersebut diteruskan kerana matlamat atau objektif tidak tercapai bahkan mungkin memberikan kesan yang negatif kepada agama Islam.

Hal ini dapat dlihat kepada penarikan diri oleh Dr Yusuf al-Qardhawi dari Persidangan Doha kali kelapan (Dialog antara agama) yang dianjurkan di Qatar ekoran terdapatnya wakil Yahudi yang turut terlibat dalam dialog tersebut. Beliau menegaskan bahawa beliau tidak menolak untuk berdialog dengan Yahudi tersebut atas faktor perbezaan agama namun disebabkan faktor politik iaitu Yahudi tersebut menerima prinsip-prinsip Zionisme yang kejam dan zalim. Keputusan tersebut dilakukan kerana dengan dialog yang dilakukan tidak mendatangkan sebarang faedah.

Penjelasan yang baik berkenaan isu di atas oleh Dr Abbul Mu’ti Bayumi, ahli Akademi Penyelidikan Islam al-Azhar bahawa pintu berbincang dan berdialog dengan Yahudi tidak tertutup sekiranya kaum Yahudi tersebut menolak prinsip Zionis Israel. Apa yang ditolak ialah perbincangan dengan Zionis yang zalim terhadap umat Islam.

Dr Majid bin Muhammad al-Majid (2008) juga menetapkan beberapa batasan dan adab dalam konteks dialog antara agama antaranya ialah tidak menggadaikan akidah dan dasar Islam semata-mata mahu mendapatkan kesepakatan daripada pihak lain. Beliau mengingatkan bahawa maksud bagi dialog antara agama ialah untuk menerangkan berkaitan dengan Islam dan ruang lingkup yang diberikan untuk bertoleransi dengan agama-agama selain Islam. Justeru, itulah yang dimaksudkan dengan dialog antara agama dan bukannya untuk membentuk agama yang baru atau ideologi yang sesat iaitu kesatuan agama-agama.

Berdasarkan apa yang diterangkan oleh beliau jelas menampakkan kebimbangan hasil daripada dialog antara agama tersebut iaitu pemikiran yang rosak iaitu kesatuan agama-agama. Hal ini mesti jelas dan diyakini oleh umat Islam bahawa kebenaran yang mutlak hanyalah dari agama Islam tidak pada yang lain berdasarkan Surah Ali Imran pada ayat ke-85.

Beliau membawa kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Akademi Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi bahawa umat Islam mesti meyakini bahawa mana-mana pihak yang tidak menganut agama Islam adalah tetap kufur. Disebabkan itu dialog yang menjadi mekanisme seruan dakwah merupakan kewajipan ke atas umat Islam terhadap orang kafir dari kalangan Ahli Kitab, mushrik dan non-Muslim yang lain.

Selain itu terdapat satu kajian yang dilakukan oleh Qis Salim al-Mu’ayatoh yang lebih memperincikan batasan dalam konteks dialog antara agama. Beliau membahagikan kepada 3 aspek iaitu :

1. Aspek individu yang menjadi panel dalam dialog yang berkaitan dengan akhlak, pengetahuan dan kehendak serta kemampuan dalam berdialog.

2. Aspek yang menjadi topik dalam dialog yang dilakukan dan ia bergantung kepada pihak yang terlibat dalam dialog tersebut sama ada muslim atau non-Muslim.

3. Aspek yang berkaitan teknik dan method dalam berdialog bagi pihak yang terlibat.

Apa yang menarik dalam kajian ini ialah lebih memfokuskan secara khusus akan garis panduan bagi setiap aspek yang terlibat. Ia lebih kemas dan memberikan gambaran yang jelas bagi maksud sebenar dialog antara agama yang dimaksudkan oleh penulis iaitu bertukar-tukar pandangan antara pihak yang terlibat dalam dialog akan pemikiran, maklumat dan pengalaman bagi menambahkan pengetahuan setiap pihak yang terlibat mengenai topik yang bincangkan sama ada kedua-duanya tersebut sepakat atau tidak.

Di samping itu, dialog yang dilakukan tidak mencampur adukkan kepercayaan kedua-dua pihak dalam konteks saling menghormati dengan cara yang terbaik iaitu menghindari dari sebarang perbuatan yang menghina, mencela dan sebagainya. Hal ini demikian kerana objektif dialog adalah untuk kerjasama dalam perkara yang disepakati dalam konteks isu kemanusiaan.

Disediakan oleh :
Ustaz Dr Muhamad Zuhaili bin Dr Hj Saiman

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan