Home Berita PAS Pusat

Kita Adalah Pendakwah Bukan Penghukum

1410
SHARE


KITA ADALAH PENDAKWAH BUKAN PENGHUKUM

Naskhah Dakwah PAS Pusat. Siri 24
10 Jamadil Akhir 1441 | 4 Feb 2020

Allah SWT Senantiasa Memberi Peluang Kedua Buat HambaNya Untuk Kembali Kepada Kebenaran.

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat
‪https://m.facebook.com/naskhahdakwah‬
‪https://t.me/Naskhahdakwah‬


1. Perjuangan Islam ini bukan urusan peribadi, juga bukan soal perasaan. Sebaliknya ia adalah urusan jamaei yang diurus secara kolektif, malah ia juga adalah berkait dengan manhaj yang telah ditunjuk oleh Nabi SAW, bukan mengikut runtunan rasa dan emosi kita.

2. Tatkala kita menggalas tugas dan tanggungjawab perjuangan ini, kepentingan Islam dan jamaah yang memperjuangkannya adalah keutamaan kita.

3. Boleh jadi keputusan jamaah tidak menepati selera dan kemahuan kita, namun apabila ia menjadi keputusan jamaah secara kolektif, maka kita wajar mematuhinya dengan tenang dan lapang dada.

4. Begitu juga kebencian dan kemarahan kita kepada mana-mana pihak atau individu tidaklah menjadi sandaran kita bertindak. Sebaliknya kembali kepada manhaj Qurani dan juga An Nabawi dalam menangani situasi sebegini.

5. Umumnya Islam mengajar kita untuk menyampaikan risalah perjuangan Islam ini dengan lunak dan menyeru mereka kembali kepada Islam dan kebenaran yang diperjuangkannya.

Firman Allah SWT:

‎فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maka dengan rahmat dari Allah, engkau telah bersikap lunak kepada mereka dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada mu. Oleh itu maafkanlah mereka dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya.

Surah Aali ‘Imran : Ayat 159

6. Tanpa jemu dan cepat bosan, dukung gerakkerja dakwah ini dengan sabar dan tabah serta tenang mendepani situasi.

7. Nabi SAW, sewaktu menyerahkan panji perjuangan kepada Saidina Ali Karramallahu Wajhah saat mendepani perang Khaibar, telah berkata Saidina Ali Karramallahu Wajhah sejurus menerima panji itu:

‎يَا رَسُولَ اللَّهِ أُقَاتِلُهُمْ حَتَّى يَكُونُوا مِثْلَنَا

Wahai Rasulullah SAW. Aku akan perangi mereka sehinggalah mereka jadi macam kita.

Lantas Nabi SAW menegaskan :

‎انْفُذْ عَلَى رِسْلِكَ حَتَّى تَنْزِلَ بِسَاحَتِهِمْ ثُمَّ ادْعُهُمْ إِلَى الْإِسْلَامِ وَأَخْبِرْهُمْ بِمَا يَجِبُ عَلَيْهِمْ مِنْ حَقِّ اللَّهِ فِيهِ فَوَاللَّهِ لَأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ

Laksanakanlah dengan tenang hingga kamu singgah pada tempat tinggal mereka, lalu serulah mereka kepada Islam dan khabarkan kepada mereka apa yang menjadi kewajiban mereka dari hak-hak Allah. Maka Demi Allah ! seandainya Allah memberi hidayah kepada seseorang melalui perantaraanmu, ianya lebih baik buatmu daripada unta merah (harta yang paling baik) “.

Riwayat Imam Bukhari

8. Sebagai pejuang malah pendukung gerakan dakwah ini, marilah kita merebut peluang untuk menyelamatkan seramai yang boleh umat manusia dari kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam.

9. Menyelamatkan manusia dari terperangkap dalam kebathilan kepada kebenaran Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT.

10. Menyelamatkan manusia dari kejahilan dan bergelumang dengan mungkar kepada Ilmu Islam dan petunjuk Allah SWT.

Dae’i adalah Duta Penyelamat Dan Kasih Sayang.

Sekian.

Islam Memimpin Perpaduan.