Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Zubair Bin Awwam

20475
SHARE

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 23)

ZUBAIR BIN AWWAM
 Hawariy Rasulillah 

Ibunya adalah Sofiyyah bin Abdul Muttalib, ibu saudara Nabi SAW. Ibu saudaranya pula adalah Khadijah binti Khuwailid, isteri Nabi yang paling dikasihi.

Beliau lahir kira-kira 15 tahun sebelum kenabian. Tetapi bapanya telah meninggal di medan perang sebelum dia lahir lagi. Maka tinggal dia dibesarkan ibunya Sofiyyah.

Sofiyyah membelanya dengan cukup keras dan tegas. Pantang Zubair takut, berbuat silap atau malas, terus dipukulnya. Tetapi bukanlah bermakna tidak sayang, tetapi bagi beliau itu cara mendidik anak. Hasilnya, Zubair menjadi seorang yang cukup kuat dan berani.

Apabila datangnya risalah Muhammad SAW, beliau antara yang terawal memeluk Islam, sehari selepas Saidina Abu Bakar. Waktu itu beliau baru berumur 15 tahun.

Dia diseksa dengan teruk kerana memilih Islam. Bapa saudaranya Nufail bin Khuwailid pernah meletakkan jerami kering di atas badannya lalu dinyalakan api. Zubair diseksa dengan panas api, dan kepulan asap memasuki mata, hidung dan telinganya. Sehingga hampir dia mati kelemasan. Namun itu semua tak membuat dia berganjak dari keimanan.

Ketika Allah membenarkan hijrah ke Habsyah, Zubair adalah orang termuda yang berhijrah merentas laut untuk ke sana. Di sana mereka beroleh keamanan di bawah naungan Najasyi raja yang adil.

Setelah lama di Habsyah, beliau berangkat pulang ke Mekah. Sampai di pintu masuk Mekah, beliau terdengar Nabi Muhammad SAW telah ditangkap. Mendengarkan hal itu, beliau terus menghunuskan pedang dan meluru masuk ke tempat Nabi SAW. Sesiapa yang cuba menghalangnya terus dilibas dengan pedangnya.

Sampai di tempat Rasulullah, rupa-rupanya khabar itu palsu. Namun Rasulullah tetap menghargai semangatnya. Baginda mendoakan kebaikan kepada Zubair, dan juga kepada pedangnya.

Maka itulah peristiwa pertumpahan darah pertama dilakukan oleh Islam.

Ketika hijrah ke Madinah, beliau salah seorang dari tiga yang berhijrah terang-terangan tanpa takut. Dua yang lain adalah Saidina Umar dan Saidina Hamzah. Mereka bertawaf di Kaabah dan Umar mencabar sesiapa yang berani untuk halang mereka. Tetapi tiada yang menyahut.

Dalam perang badar, hanya dua orang sahaja yang memiliki kuda. Salah seorang adalah Zubair. Beliau mengenakan serban kuning di kepala. Apabila turun bantuan Allah berupa tentera malaikat, Rasulullah SAW bersabda:
“Malaikat turun dalam rupa Zubair bin Awwam.”

Dalam perang Uhud pula, ketika umat Islam dalam keadaan kucar kacir, datang seorang tentera musuh ke tengah pasukan umat Islam dan membunuh seorang demi seorang tentera Islam. Beliau begitu kuat dan tangkas. Melihat keadaan itu Rasulullah SAW bersabda:
“Orang itu untukmu wahai Zubair..”

Sebaik sahaja baginda mengakhiri kata-katanya, Zubair terus berlari ke arah lelaki tersebut, laksana singa memburu mangsanya. Beliau memanjat ke satu tempat yang agak tinggi, lalu melompat ke atas lelaki tersebut yang berada di atas kudanya.

Beliau menghumban lelaki itu hingga keduanya jatuh ke tanah. Mereka bergelut di atas tanah, hingga akhirnya Zubair berjaya berada di atas lelaki tersebut lalu terus membunuhnya.

Tatkala itu Rasulullah SAW bersabda:
“Demi bapaku dan ibuku, sungguh aku takjub dengan Zubair!”

Dalam perang Khandaq juga beliau berperanan besar. Ketika Rasulullah bertanya para sahabat, siapa yang berani pergi ke kawasan musuh dan merisik maklumat, Zubair menjawab “Aku!”. Rasulullah bertanya lagi dan Zubair masih bersungguh menawarkan diri. Kali ketiga, Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap Nabi punya hawariy mereka. Dan hawariyku adalah Zubair!”

Zubair menyertai semua perang di zaman Rasulullah SAW. Bahkan selepas baginda wafat, beliau terus menjadi tentera Islam bagi semua khalifah sehingga akhir hayatnya, kecuali pada zaman Imam Ali bin Abi Talib. Beliau berada di pihak Talhah dan Aisyah, dan terbunuh walaupun sudah mengambil keputusan berdamai dengan Saidina Ali.

Orang yang membunuh Zubair bernama Ibn Jurmuz. Beliau di pihak Saidina Ali tetapi bukan atas arahan Saidina Ali. Saidina Ali sangat sedih apabila mendapat tahu Zubair telah dibunuh sehingga menangis teresak-esak. Beliau juga sangat marah kepada pembunuhnya dan menyampaikan satu Hadis daripada Rasulullah SAW kepada Ibn Jurmuz:
“Khabarkan berita gembira kepada pembunuh Ibn Sofiyyah, bahawa api neraka sebagai balasan perbuatannya!”

Masakan tidak? Zubair adalah salah seorang antara 10 yang dijanjikan syurga oleh Nabi SAW, sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis.

Kisah di atas memberi satu pengajaran, iaitu kepentingan peranan Hawariy bagi perjuangan Islam. Hawariy merupakan pembantu setia atau disebut dengan bahasa al-Quran sebagai Ansarullah. Para Anbiya’ memiliki para pembantu yang bukan sekadar beriman dengannya, tetapi juga memahami kehendak dan aspirasi baginda, malah bersedia melaksanakan segala arahan baginda bila-bila masa sahaja, dan mempertahankan baginda dari apa jua bahaya.

Konsep hawariy perlu diterapkan dalam organisasi gerakan Islam. Para pemimpin Islam juga wajar memiliki hawariy tersendiri yang lebih khusus dari pengikut biasa. Mereka adalah orang kepercayaan yang membantu pemimpin dari segala sudut. Mereka lebih istimewa dari pihak lain. Kalau martabat seorang Nabi yang maksum dan dipandu wahyu pun memerlukan hawariy khusus, maka hawariy adalah lebih utama kepada pemimpin hari ini yang serba kekurangan.

23 Ramadhan 1438
18 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}