Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Zaid Bin Harithah

3422
SHARE

SAHABAT DI SISI RASULULLAH (SIRI 9)

ZAID BIN HARITHAH
 Hibbi Rasulillah 

Semasa kecil, Zaid bin Harithah al-Ka’bi telah diculik sekumpulan penyamun dalam perjalanan pulang ke penempatan kabilahnya. Beliau kemudian dijual di pasar Ukaz sebagai hamba lalu dibeli oleh pembesar Quraisy Hakim bin Hizam bin Khuwailid. Hakim kemudian menghadiahkan Zaid kepada ibu saudaranya Khadijah binti Khuwailid.

Tidak lama selepas itu, Khadijah berkahwin dengan Nabi Muhammad SAW. Zaid kemudian dibesarkan oleh kedua mereka. Beliau dijaga dengan baik laksana sebahagian dari keluarga itu sendiri. Waktu itu baginda SAW belum lagi diangkat sebagai Nabi.

Pada waktu yang sama, keluarga Zaid begitu merinduinya dan sentiasa memikirkan nasibnya. Mereka tidak tahu bagaimana keadaan semasa Zaid. Di manakah beliau sekarang. Apakah masih hidup atau telah mati. Bapanya Harithah sentiasa mencari dan bertanya orang kalau-kalu bertemu dengan anaknya.

Akhirnya pada satu musim haji, kaum kerabat mereka telah bertemu dengan Zaid lalu dikhabarkan kepada bapanya.

Sebaik menerim berita, Harithah terus ke Mekah menemui Rasulullah SAW untuk meminta kembali anaknya dengan apa jua bayaran yang diminta. Nabi SAW sebaliknya menawarkan:
“Apa kata kita biarkan Zaid buat keputusan sendiri. Sekiranya dia memilih untuk kembali ke pangkuan keluarga, maka ambillah tanpa sebarang bayaran. Tapi jika dia memilih bersamaku, maka itu atas kehendaknya.”

Harithah bersetuju. Lalu baginda memanggil Zaid dan bertanya berkenaan itu. Zaid tanpa sebarang ragu terus menjawab:
“Aku mahu terus tinggal bersama kamu.”

Harithah yang begitu terkejut dengan jawapan Zaid terus berkata:
“Celaka! Kamu pilih menjadi hamba daripada pangkuan ibu dan bapamu?”

Zaid menjawab:
“Aku dapat rasakan lelaki ini bukan seperti lelaki biasa. Aku tak mahu berpisah sekali-kali dengannya.”

Baginda SAW yang sangat gembira dengan reaksi Zaid itu lantas menggenggam tangan beliau dan memimpinnya menuju Masjidil Haram. Beliau berdiri di Hijr Ismail lalu berkata:
“Wahai sekalian Quraisy! Saksikanlah pada hari ini bahawa ini adalah anakku. Dia mewarisiku dan aku mewarisinya.”

Pilihan yang dibuat oleh Zaid itu berdasarkan pengalaman hidup bersama baginda SAW. Beliau tidak pernah tahu pun bahawa lelaki yang didampingi itu adalah sebaik-baik makhluk tuhan. Beliau tidak pernah terlintas bahawa Muhammad bakal ditabalkan sebagai Rasul Allah dan pemimpin sekalian Anbiya’. Beliau juga tidak pernah membayangkan Muhammad bakal membawa ajaran yang akan memimpin dunia, dan dirinya menjadi batu bata awal bagi sebuah pemerintahan agung nanti.

Sejak hari itu, Budak bertuah itu dipanggil sebagai Zaid bin Muhammad. Hanya beberapa tahun selepas peristiwa terbabit, baginda menerima wahyu pertama sebagai utusan tuhan. Dan Zaid antara yang terawal menerima agama suci ini.

Zaid terus digelar sebagai anak Muhammad sehingga turun wahyu dari ayat 5 surah al-Ahzab yang membatalkan adat pewarisan kepada anak angkat dan penisbahan nama kepada ayah angkat. Lalu bertukarlah kembali namanya kepada Zaid bin Harithah.

Walaupun begitu, Zaid masih menjadi pemuda kesayangan Rasulullah SAW. Bahkan lebih disayangi dari anak-anaknya yang lain sebagaimana kasihnya Zaid kepada Nabi lebih daripada ibubapanya sendiri. Sabda Rasulullah SAW:
“Demi Allah! Sesungguhnya Zaid bagai dilahirkan untuk menjadi pemimpin. Dia adalah orang yang paling aku kasihi.”

Zaid menjadi teman rapat baginda, tempat berkongsi cerita dan segala rahsia. Sering ditugaskan sebagai ketua delegasi diplomatik, atau pasukan tentera. Juga banyak ditugaskan mengganti Nabi di Madinah sewaktu ketiadaan baginda.

Zaid turut digelar sebagai ‘Zaid al-Hibb’. Mendapat jolokan sebagai ‘Hibbi Rasulillah’bermaksud kekasih Rasulullah.

Tahun ke-8 hijrah. Hubungan erat kedua kekasih ini diuji oleh Allah taala. Tuhan perintahkan baginda mengerahkan tentera ke Mu’tah bagi menuntut bela pembunuhan utusan Islam ke Rom iaitu Harith bin Umair. Zaid bin Harithah ditetapkan sebagai panglima, memimpin 3000 bala tentera bagi berhadapan lebih 200000 tentera musuh di tempat mereka.

Apabila sampai ke Mu’tah, tentera Islam mendapat tahu jumlah musuh berlipat kali ganda lebih ramai dari mereka. Salah seorang dari mereka lalu mencadangkan agar ditulis surat kepada Rasulullah memberitahu bilangan musuh, kalau-kalau ada arahan baru setelah maklumat ini diterima Rasul. Namun seorang yang lain menjawab:
“Demi Allah wahai kaumku. Kita tidak berjuang dengan kekuatan dan bilangan kita. Tetapi kita berjuang dengan agama ini.. Maka teruskanlah dengan tujuan asal kita.. Sesungguhnya Allah telah menjamin bahawa kita akan tetap beroleh kemenangan antara dua perkara; mengalahkan musuh atau mendapat syahid…”

Lalu tentera Islam meneruskan langkah. Peperangan pun meletus dengan hebat, sehingga pangliman Islam Zaid bin Harithah ditembusi beratus-ratus tusukan tombak, dan gugur syahid di atas kolam darahnya sendiri.

Panji Islam disambut Jaafar bin Abi Talib sebagaimana yang diperintahkan, namun Jaafar juga syahid dengan kedua-dua tangannya terpotong. Panji pantas disambut oleh Abdullah bin Rawahah dan beliau juga syahid. Sehinggalah jawatan panglima diambil oleh Khalid al-Walid yang baru memeluk Islam, dan akhirnya musuh berundur dengan taktikal strategis perang itu.

Rasulullah yang berada di Madinah terus ke rumah para syuhada bagi menyampaikan berita ‘gembira’ terhadap ahli keluarga masing-masing. Sampai di rumah Zaid, anak perempuan kecilnya terus menangis dalam dakapan Rasulullah SAW, membuatkan baginda tidak tahan sebak lalu turut mengalirkan airmata, sehingga esakannya didengari para sahabat.

Saad bin Ubadah yang ada ketika itu berkata:
“Kenapa sampai begini wahai Rasulullah..?”

Baginda menjawab:
“Inilah tangisan seorang kekasih terhadap kekasihnya..”

Kisah ini mendidik kita memahami sunnah perjuangan Islam. Walau kasih mana sekalipun kita terhadap rakan seperjuangan, tetap tidak boleh mengatas kasih terhadap Allah Yang Maha Suci. Sesungguhnya semua perkenalan kita adalah demi menuntut redha Allah. Hubungan Zaid dan Rasulullah adalah cerminan kepada salah satu di antara tujuh golongan yang dijanjikan naungan Allah, iaitu dua insan yang berkasih kerana Allah; bersama dan berpisah demi agama Allah.

Mungkin baginda sedang merancang Zaid sebagai pelapis kepimpinan generasi hadapan. Tetapi perancangan Allah lebih hebat. Semua yang Allah tentukan tiada yang sia-sia. Dan agamanya akan tetap terpelihara selagi belum tiba masanya.

Mungkin Rasulullah kini tidak lagi menangis. Mungkin sekali baginda sedang tersenyum kegembiraan, bersama sang kekasih pengarang jantung hati di alam sana.

Semoga kita juga akan turut senyum di sana, bersama mereka serta sahabat seperjuangan yang telah terlebih dahulu membenarkan janji tuhan, dan juga yang sedang menunggu giliran.

9 Ramadhan 1438
4 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}