Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Abdullah Bin Abbas

1852
SHARE

SAHABAT DI SISI RASULULLAH (SIRI 7)

ABDULLAH BIN ABBAS
 Lubuk Kemuliaan Umat Muhammad 

Beliau adalah sepupu Rasulullah SAW. Lahir tiga tahun sebelum peristiwa hijrah. Rasulullah SAW antara yang menyambut kelahirannya. Baginda SAW orang pertama melakukan tahnik kepadanya. Daripada kecil lagi, air liurnya sudah bercampur dengan air liur mulia Rasulullah dan itulah jua benda pertama yang masuk ke mulut Ibn Abbas.

Sejak mumayyiz lagi, beliau menjadi pembantu peribadi Rasulullah SAW. Jika Rasulullah mahu berwudhu, beliaulah yang akan bawa bekas air untuk baginda. Jika Rasulullah mahu solat, beliau akan berdiri di belakang baginda untuk solat bersama. Jika Rasulullah mahu bermusafir, beliaulah yang akan menunggang di belakang baginda.

Rapat ke mana saja, ibarat bayang-bayang menemani tuannya.

Pada suatu hari, Rasulullah ajak beliau solat. Baginda minta Ibn Abbas berdiri di sebelahnya. Tetapi Ibn Abbas memilih untuk solat di belakang baginda. Rasulullah bertanya:
“Apa yang menghalangmu dari solat di belakangku wahai Abdullah…?”

Beliau menjawab:
“Engkau lebih layak untuk ditatap oleh mataku dan lebih mulia berbanding tubuhku disebelahmu wahai Rasulullah”

Maka Rasulullah mengangkat tangan ke langit dan berdoa
“Ya Allah! Berikanlah dia hikmah(kebijaksanaan).”

Berkat doa Rasulullah SAW, beliau benar-benar menjadi seorang yang bijaksana. Diiktiraf sebagai ulama’ di kalangan sahabat. Menjadi tempat rujukan hadis dan berbagai ilmu walaupun umurnya sangat muda.

Kebijaksanaan Ibn Abbas terserlah dalam menyelesaikan krisis politik di zaman Saidina Ali. Hikmah yang ada pada dirinya membuktikan beliau bukan sekadar faham ilmu agama, tetapi juga ilmu politik. Ketika sebahagian umat Islam menolak kepimpinan Saidina Ali sebagai khalifah yang dikenali sebagai golongan Khawarij, Ibn Abbas telah pergi menemui mereka dan bertanya apa yang mereka tidak puashati terhadap Saidina Ali. Lalu mereka mengemukakan tiga alasan:
1. Tidak bersetuju dengan kaedah tahkim.
2. Saidina Ali memerangi Aisyah dan Muawiyah tetapi tidak mengambil harta rampasan atau hamba tebusan.
3. Saidina Ali tidak menggunakan gelaran Amirul Mukminin walaupun orang Islam telah membaiahnya.

Abdullah Ibn Abbas berkata:
“Jika aku boleh menjawab semua ini dengan kitab Allah dan Hadis Rasulullah, apakah kamu akan kembali taat?”

Mereka menjawab: “Ya.”

Lalu Ibn Abbas menjawab satu persatu.

“Pertama, tentang tahkim. Allah SWT telah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di antara kamu,
[Al-Ma’idah:95]

“Aku bertanya kalian demi Allah, mana satukah lebih penting antara melantik orang untuk berhukum demi menjaga darah dan nyawa mereka, serta memelihara hubungan mereka, ataupun melantik orang untuk berhukum tentang seekor arnab yang berharga suku dirham?”

Jawab mereka:
“Tentulah memelihara nyawa orang.”

Tanya Ibn Abbas lagi:
“Jadi adakah kita telah selesai bab ini?”

Jawab mereka:
“Ya selesai..”

Ibn Abbas meneruskan jawapan,
“Adapun yang kedua, tentang tidak mengambil rampasan atau tebusan. Adakah kalian redha menjadikan Ibumu (Ummul Mukminin) Aisyah sebagai hamba tebusan dan menjadi halal untukmu sebagaimana halalnya hamba-hamba sahaya lain?”

“Jika kalian berkata ya, maka kalian boleh menjadi kufur.”

“Jika kalian berkata dia bukan ibu kalian, juga boleh menjadi kufur kerana Allah berfirman:

..Dan isteri-isterinya (Nabi) adalah menjadi ibu mereka (orang Islam).. “
[Al-Ahzab:6]

Kemudian Ibn Abbas bertanya:
“Adakah kita telah selesai bab ini?”

Jawab mereka:
“Ya selesai..”

Sambung Ibn Abbas:
“Yang ketiga pula adalah berkait tentang tidak menggunakan gelaran Amirul Mukminin. Dalam peristiwan Sulh Hudaibiah ketika Rasulullah menyuruh tulis namanya dalam perjanjian sebagai Muhammad Rasulullah, orang musyrikin enggan kerana tidak percaya kerasulannya. Baginda akur dengan keengganan musyrikin tetapi baginda menjawab: “Demi Allah aku tetap Rasulullah walaupun kamu mendustakanku.”

Kemudian Ibn Abbas bertanya:
“Adakah kita telah selesai bab ini?”

Jawab mereka:
“Ya selesai..”

Kesan dari jawapannya itu, seramai 20000 orang umat Islam kembali taat kepada Saidina Ali. Hanya tinggal sekitar 4000 orang sahaja yang masih berdegil.

Sepanjang umur Ibn Abbas dihabiskan dalam bidang ilmu. Sewaktu muda beliau banyak menghabiskan masa menuntut ilmu. Di hujung usia beliau menyampaikan ilmu pula. Beliau juga menjadi penasihat utama beberapa orang khalifah. Setiap kali diadakan majlis ilmu di rumahnya, bukan sahaja rumahnya sesak, tetapi semua jalan-jalan ke rumahnya turut dipenuhi lautan manusia sehingga tidak dapat dilalui.

Ibn Abbas bukan sekadar berilmu, tetapi juga kuat beramal dan beribadah dengan ilmunya. Ibn Mulaikah pernah memberitahu pada satu malam ketika baru sampai dari Mekah ke Madinah, mereka semua tidur keletihan tetapi Ibn Abbas berqiamullail. Aku mendengar Ibn Abbas mengulang-ulang satu ayat:

Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah “Sakaratulmuat” membawa kebenaran: “Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!”
[Qaf:19]

Dalam keadaan menangis dengan suara yang kuat, ayat tersebut terus diulang-ulang hinggalah masuk waktu Fajar.

Beliau hidup hingga ke usia 71 tahun. Ketika meninggal dunia, beliau disembahyangkan oleh anak saidina Ali, Muhammad bin Hanafiah, dan jenazahnya diuruskan oleh saki baki sahabat yang masih hidup serta para tabiin besar. Ketika pengkebumian, terdengar satu suara membacakan firman Allah:

“Wahai jiwa yang tenang..”

“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau redha dan diredhai tuhan.”

“Maka masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaKu (yang berbahagia)

“Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! “

[Al-Fajr:27-30]

Hingga ke hari ini, kata-kata Ibn Abbas menjadi sandaran utama alim ulama dalam mehamami nas al-Quran dan Hadis. Walaupun beliau telah lama meninggal, ilmunya tetap hidup sampai hari kiamat.

Mulia manusia kerana ilmu. Harga manusia adalah pada ilmu dan amalnya. Ibn Abbas dimuliakan penduduk dunia, juga dimuliakan penduduk langit.

7 Ramadhan 1438
2 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}