Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Adiy Bin Hatim At-Ta’iy

4272
SHARE

SAHABAT DI SISI RASULULLAH (SIRI 11)

ADIY BIN HATIM AT-TA’IY
Saksi Janji Rasulullah 

Adiy bin Hatim merupakan pewaris takhta kerajaan Ta’iy, sebuah kabilah arab yang tinggal di utara semenanjung arab, berhampiran Iraq dan Syria. Beliau asalnya amat membenci Islam, kerana merasakan dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad boleh menjatuhkan beliau dari takhta.

Oleh itu selama 20 tahun sejak awal kenabian, Adiy memusuhi Rasulullah SAW dan Islam. Tetapi dari hari ke hari, beliau mendengar berita Islam semakin lama semakin kuat dan berkembang pesat.

Pada tahun ke sembilan hijrah, ketika mendapat berita tentera Islam sudah hampir ke kawasan mereka, beliau jadi takut dan merasakan tidak berdaya melawan. Lalu beliau ambil keputusan untuk lari bersama keluarga ke Syam dan tinggal di sana.

Malangnya beliau terlalu gelojoh sehingga tertinggal seorang adik perempuannya.

Ringkas cerita, adiknya dijumpai oleh tentera Islam lalu dibawa balik ke Madinah. Adiknya telah berbicara dengan Rasulullah menceritakan keadaan dirinya. Dia meminta untuk bertemu keluarga yang lari ke Syam.

Rasulullah dengan murah hati bukan sahaja membenarkan, tetapi membekalkan dengan beberapa kelengkapan dan wang serta memastikan beliau diiringi ke Syam oleh pihak yang dipercayai.

Sampai di Syam, adiknya menceritakan kebaikan orang Islam dan Nabi Muhammad, sambil berkata:
“Aku cadangkan kau berjumpa dengan dia segera. Kalau betul dia seorang Nabi maka beruntunglah kau sempat beriman dengannya.”

Adiy pun pergi bertemu Rasulullah SAW tanpa sebarang temujanji. Di sana didapati Rasulullah sedang berada di masjid. Lalu baginda memegang tangan Adiy dan memimpinnya ke rumah.

Dalam perjalanan, mereka terserempak dengan perempuan tua bersama seorang anak kecil. Rasulullah berhenti dan bertanya khabar orang tua itu dan melayani setiap hajat beliau.

“Sungguh ini bukan watak seorang raja.” Kata Adiy di dalam hati.

Sampai di rumah, Nabi SAW menghamparkan sekeping alas duduk dan menjemput Adiy duduk. Adiy menolak untuk duduk tetapi baginda tetap berkeras. Baginda hanya duduk di atas lantai kerana alas itu hanya ada satu sahaja.

“Sungguh ini bukan kehidupan seorang raja.” Getus hati Adiy lagi.

Rasulullah memulakan bicara:
“Wahai Adiy, bukankah kamu beragama Rakusy, agama antara Nasrani dan Saba’iy?”

“Ya.” Jawab Adiy.

“Bukankah kau pernah ke Mirba’, dan kau ada mengambil apa yang tidak dihalalkan oleh agamamu?” Sambung baginda lagi.

“Ya.” Jawab Adiy lagi. Waktu itu dia mula sedar bahawa dihadapannya itu memang seorang Nabi utusan Ilahi. Kerana dia tahu benda yang orang tidak ketahui.

Rasulullah meneruskan bicaranya:
“Wahai Adiy. Mungkin kau tak terima agama ini kerana kau dapati orang-orang Islam sekarang miskin dan hidup susah. Tapi percayalah, suatu hari nanti harta umat Islam akan melimpah ruah sehingga tak ada orang yang mahu mengambilnya.

Wahai Adiy. Mungkin kau tak masuk agama ini sebab kau tengok orang Islam sedikit dan bukan Islam terlalu ramai. Tapi percayalah, suatu hari nanti kau akan dengar berita para wanita boleh merantau sendirian dari Qadisiah ke Mekah. Mereka tak perlu takutkan sesiapa kecuali Allah.

Wahai Adiy. Mungkin kau tak masuk agama ini sebab kuasa besar sekeliling dimiliki oleh bukan Islam. Tapi percayalah, suatu hari nanti kau akan dengar bahawa istana putih di Babil akan jatuh ke tangan Islam, dan harta khazanah Kisra bin Hurmuz akan menjadi milik mereka.”

Watak dan ucapan Rasulullah benar-benar memukau Adiy. Sinar hidayah mula menerangi ruang hatinya. Kini beliau yakin, kebenaran sudah berada di depan matanya.

Sebaik Rasulullah mengakhiri bicara, Adiy terus mengucapkan dua kalimah syahadah, disaksikan oleh semulia-mulia manusia dan para malaikat.

Sejak itu beliau mendalami Islam fan terus berpegang dengan ajaran Islam walaupun selepas kewafatan Rasulullah. Ketika raja-raja Arab kembali murtad selepas Abu Bakar menggantikan baginda Nabi, Adiy menjadi antara yang berusaha supaya orang-orang kembali kepada Islam.

Adiy ditakdirkan panjang umur. Beliau sempat melihat dua dari tiga yang dijanjikan oleh Rasulullah itu benar-benar berlaku. Dan beliau bersumpah bahawa janji satu lagi pasti akan berlaku juga.

Beliau sempat melihat suasana keamanan yang disebut oleh Rasulullah, bahawa perempuan bebas mengembara dari Qadisiah ke Mekah tanpa sebarang ancaman. Beliau juga antara yang terlibat dalam pembukaan kota Parsi dan antara yang pertama menjumpai harta Kisra.

Adapun harta yang melimpah ruah itu berlaku di zaman Umar bon Abdul Aziz, cicit Umar al-Khattab. Di zaman itu memang umat Islam mewah, sehingga tidak ada lagi orang yang layak menerima zakat.

Benarlah janji Rasulullah. Tepatlah sumpah Adiy.

Kisah Adiy menjadi inspirasi kepada kita untuk yakin terhadap janji Allah dan Rasul. Walaupun hari ini kita melihat Islam lemah dan dibuli dengan teruk, jangan sekali-kali putus semangat untuk bersama dengan Islam. Kerana Allah telah menjanjikan bahawa masa depan adalah untuk Islam.

Cekalkan hati bulatkan tekad. Teruskan perjuangan. Istiqamah hingga kemenangan.

11 Ramadhan 1438
6 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}