Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Abdurrahman Bin Auf

13285
SHARE

 

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 24)

ABDURRAHMAN BIN AUF
 Jutawan Zuhud 

Nama beliau di zaman jahiliah adalah Abdu Amru. Memeluk Islam sebelum Rasulullah memilih rumah al-Arqam sebagai markas tarbiah Islam lagi. Juga salah seorang di antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga.

Sebagaimana muhajirin yang lain, Abdurrahman berhijrah ke Madinah sehelai sepinggang. Rasulullah SAW mempersaudarakan Abdurrahman dengan seorang Ansar bernama Saad bin ar-Rabi’. Kata Saad kepada Abdurrahman.

“Wahai saudaraku. Akulah orang paling kaya di antara ahli Madinah. Aku memiliki dua kebun dan dua isteri. Pilihlah kebun mana yang kau berkenan, ia milikmu. Pilihlah juga salah seorang isteriku, akan aku ceraikannya untukmu.”

“Semoga Allah memberkati keluarga dan hartamu. Tapi aku cuma nak minta kamu tunjukkan aku di mana letaknya pasar sahaja.” Jawab Abdurrahman menolak tawaran Saad.

Maka Saad menunjukkan lokasi pasar kepada Abdurrahman. Lalu Abdurrahman berniaga di sana. Dalam tempoh yang singkat, beliau telah berjaya meraih keuntungan yang tinggi. Dengan mudah beliau mampu mengumpul wang untuk dijadikan mahar, lalu beliau berkahwin.

Usai itu Abdurrahman berjumpa Rasulullah dan menceritakan keadaannya kini. Rasulullah pun berdoa:
“Semoga Allah memberkati hartamu..”

Abdurrahman menceritakan:
“Sejak hari itu, aku merasakan kesenangan dunia tidak henti-henti datang kepadaku, sehingga kalau aku angkat batu pun, akan menjumpai emas di sebaliknya.”

Abdurrahman juga antara yang gigih berjihad di jalan Allah. Perang Badar, perang Uhud dan seterusnya semua disertai. Tetapi peranannya dalam jihad diri dianggap kecil jika dibanding dengan jihadnya dari sudut harta.

Pernah Rasulullah SAW melancarkan derma untuk satu misi mengutus pasukan tentera. Abdurrahman terus pulang ke rumah dan kembali membawa sedikit harta. Ujar beliau:
“Wahai Rasulullah. Aku ada 4000 keping wang. 2000 aku serahkan di jalan Allah. 2000 lagi aku simpan untuk keluargaku.”

Rasulullah SAW bersabda:
“Semoga Allah memberkati apa yang kamu berikan..
Dan semoga Allah memberkati apa yang kamu simpan..”

Ketika Rasulullah mengumumkan misi Perang Tabuk, baginda sekali lagi melancarkan derma. Perang ini adalah perang paling sukar buat orang Islam kerana belanjanya besar, lokasinya jauh dan keperluan penglibatan tentera juga ramai.

Abdurrahman telah mendermakan 200 cupak emas, satu jumlah yang sangat besar sehingga Saidina Umar berkata:
“Aku rasakan Abdurrahman dah berbuat dosa. Dia tak tinggalkan apa-apa untuk keluarganya.”

Rasulullah bertanya:
“Adakah kau tinggalkan apa-apa untuk keluargamu?”

Jawab Abdurrahman:
“Ya. Aku tinggalkan lebih banyak dari yang aku berikan.”

“Berapa?” Soal baginda lagi.

“Apa yang Allah dan RasulNya janjikan daripada rezeki, kebaikan dan pahala.”Jawab Abdurrahman menjelaskan bahawa yang diinfaqkan itu akan dibalas berganda oleh Allah SWT di samping pahala yang besar.

Setelah Rasululkah SAW wafat, Abdurrahman mengambil peranan menjaga kebajikan Ummahatul Mukminin, para isteri Rasulullah SAW. Beliau sentiasa mengiringi mereka ke mana sahaja mereka mahu pergi. Hartanya dibelanjakan untuk apa sahaja hajat mereka. Abdurrahman mendapat kepercayaan semua Ummahatul Mukminin.

Doa Nabi terhadap Abdurrahman sangat mustajab. Perniagaannya tidak pernah meleset, malah sentiasa berkembang dan membesar. Satu hari beliau pernah pulang dengan rombongan dagangnya, berjumlah 700 ekor binatang tunggangan. Setiap binatang itu memikul berbagai jenis makanan dan barangan keperluan. Sehingga bergegar bumi Madinah ketika rombongan itu menghampiri kota Madinah.

Apabila Saidatina Aisyah mendapat tahu gegaran itu dari rombongan Abdurrahman, Aisyah berdoa:
“Semoga Allah memberkati apa yang Allah berikan padanya di dunia, dan sesungguhnya ganjaran di akhirat adalah lebih besar dan berharga.”

Abdurrahman cukup terkesan dengan doa tersebut. Sebaik mendapat tahu doa dari Aisyah itu, pantas beliau mendapatkan Ummu Mukminin itu dan berkata:
“Aku bersaksi wahai Ibu, bahawa semua rombongan dan harta ini, aku jadikannya derma fi sabilillah..!”

Sebanyak manapun yang didermakan, hartanya tidak pernah berkurang. Ketika dia wafat, wang pusaka yang diperoleh oleh setiap seorang dari empat isterinya sahaja sudah tidak kurang dari 80000 keping wang emas. Tidak termasuk lagi tanah, ternakan dan harta lain. Tidak termasuk lagi bahagian untuk waris yang lain. Wasiat yang diperuntukkan kepada Ummahatul Mukminin juga tersangat banyak, walaupun di masa hidupnya lagi telah banyak dihabiskan untuk mereka.

Walaupun beliau adalah orang Islam terkaya, tetapi beliau memiliki diri yang sangat zuhud. Kekayaannya tidak pernah berjaya merajai hatinya. Beliau hidup sederhana seperti sahabat lain. Jika dia bersama para hambanya, orang tidak dapat membezakan antara beliau dan mereka.

Pernah dihidangkan makanan kepada Abdurrahman. Pada waktu itu dia sedang berpuasa. Dia memandang makanan itu lalu berkata:
“Mus’ab bin Umair yang lebih baik dariku, terbunuh dalam keadaan tidak memiliki apa-apa pakaian untuk dikafankan, selain kain yang kecil. Apabila ditutup kepala terdedah kakinya. Apabila ditutup kaki terdedah pula kepalanya.

Akan tetapi Allah luaskan dunia kepadaku seluasnya. Aku sangat takut, kalau Allah sengaja memberikan ganjaran kepadaku, hanya di atas dunia sahaja.”

Lalu dia menangis dan meratap sepuasnya, sehingga seolah dia membenci diri sendiri.

Itulah kelebihan menginfakkan harta di jalan Allah. Tuhan sudah berjanji di dalam Al-Quran, bahawa bandingan yang berjihad dengan harta mereka seolah-olah menanam satu biji benih. Dari setiap benih itu akan tumbuh tujuh tangkai. Setiap tangkai pula memiliki 100 biji yang lain. Allah gandakan bukan sahaja pahala di akhirat, bahkan balasan ganti di dunia juga.

Jihad harta untuk menegakkan agama Allah tak sama ganjarannya dengan derma atau sedekah kebajikan biasa. Allah menyebut gandaan sehingga 700 kali ganda itu, khusus kepada mereka yang mendermakan hartanya untuk menegakkan agama Allah. Untuk mendapat kelebihan optimum, utamakan infaq untuk kebajikan dan melicinkan kerja pejuang-pejuang Allah.

Jihad harta juga tidak sama dengan sumbangan harta. Kerana sumbangan biasa diberikan dari lebihan harta yang kita ada. Tetapi jihad harta, bermaksud satu bentuk pengorbanan mengeluarkan harta bukan sekadar dari lebihan atau simpanan, tetapi turut memberikan sebahagian dari keperluan hidup kita sehingga terpaksa bersusah demi mendahulukan agama. Itulah makna jihad. tulah sikap yang ditunjukkan Abdurrahman.

Abdurrahman bin Auf juga mengajarkan erti zuhud kepada kita. Zuhud bukan hidup miskin. Tetapi zuhud bermaksud kekayaan dunia tidak menguasai hati kita. Miskin tidak semestinya zuhud, jika minda dan hatinya sentiasa memikirkan soal harta. Kaya juga tidak semestinya tidak zuhud, jika hati dan mindanya senantiasa berpaut pada akhirat, tidak terkesan dengan yang mereka miliki atau apa yang belum mereka miliki.

24 Ramadhan 1438
19 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}