Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Abu Ubaidah Al-Jarrah

2685
SHARE

SAHABAT DI SISI RASULULLAH
(SIRI 25)

ABU UBAIDAH AL-JARRAH
 Pemegang Amanah Umat Muhammad 

Nama sebenar beliau adalah Amir bin Abdullah bin al-Jarrah. Memiliki rupa paras yang berseri, kacak, tinggi lampai, tegap dan berjambang nipis. Seorang yang sangat mesra, disamping tawaduk dan agak pemalu. Tetapi dalam keadaan tertentu, beliau boleh bertukar watak seperti singa. Personaliti beliau boleh diibaratkan laksana mata pedang yang cantik berkilau, dalam masa yang sama tajam lagi menggerunkan.

Abu Ubaidah tergolong di kalangan mereka yang paling awal memeluk Islam, mengucapkan syahadah di hadapan Rasulullah sehari selepas Islamnya Abu Bakar as-Siddiq. Turut bersama beliau adalah Abdul Rahman bin Auf, Uthman bin Maz’un dan al-Arqam bin Abi al-Arqam.

Sebagaimana sahabat lain yang memeluk Islam di era Makkiyyah, beliau turut menerima seksaan dan ancaman yang pelbagai dari kaum musyrikin. Namun itu semua tidak boleh dibandingkan dengan dugaan yang dihadapinya saat berada di medan perang Badar.

Di awal peperangan itu, Abu Ubaidah memainkan peranan sebagai pejuang yang sejati. Menyerang musuh tanpa sekali-kali takutkan mati. Kepahlawanannya telah menggerunkan musuh, sehingga masing-masing mengelak dari bertembung dengan Abu Ubaidah. Beliau benar-benar menjadi singa yang gah.

Akan tetapi, terdapat seorang lelaki dari pihak musuh yang benar-benar mahu bertarung dengan Abu Ubaidah. Abu Ubaidah pula semahunya cuba mengelak dari beliau. Lelaki tersebut sentiasa menghadap Abu Ubaidah dan menyerangnya, tetapi Abu Ubaidah sekadar mengelak dan melarikan diri.

Lelaki tersebut masih tidak berputus asa. Beliau menyekat setiap pergerakan Abu Ubaidah. Pedangnya sentiasa dihunus ke arah Abu Ubaidah, seolah-olah mencabar keberanian sahabat itu.

Abu Ubaidah tidak mampu lagi mengelak. Dalam keadaan terpaksa, beliau menyahut cabaran lelaki itu. Dengan sekali libasan pedang, lelaki tersebut terus tersungkur jatuh ke bumi dan menerima ajalnya.

Itulah pengorbanan yang sangat pahit buat Abu Ubaidah. Namun Islam melebihi segala-galanya. Lelaki yang dibunuh itu adalah bapa kandungnya sendiri, Abdullah bin al-Jarrah.

Tatkala itu, tuhan memuji pengorbanan jiwa yang dilakukan Abu Ubaidah menerusi firmanNya:

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Allah telah tetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadaNya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Merekalah golongan-golongan Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya golongan-golongan Allah itulah yang beroleh kejayaan.
[Al Mujadalah:22]

Dalam peperangan Uhud pula, Abu Ubaidah telah menunjukkan kecintaannya terhadap baginda Nabi SAW. Ketika umat Islam diserang daripada belakang, keadaan Nabi SAW juga turut terancam. Hampir-hampir baginda dibunuh oleh tentera musyrikin. Tentera Musyrikin semakin mengganas dan mereka berteriak: “Mana Muhammad!!! Tunjukkan aku mana Muhammad!!!”

Mendengar laungan itu, Abu Ubaidah bersama beberapa sahabat yang lain terus mendapatkan Rasulullah. Mereka membentuk benteng manusia, menadah tubuh sendiri bagi menahan serangan musuh terhadap baginda SAW.

Pada saat genting itu, Rasulullah SAW tidak terlepas dari terkena serangan musuh. Gigi geraham baginda patah, kulit dahinya terkoyak, bibirnya luka, dan pipinya berdarah ditembusi dua bilah mata rantai baju besi yang dipakainya.

Keadaan baginda yang dikasihi itu sangat meruntun setiap jiwa yang melihatnya. Abu Bakar datang untuk mencabut kedua mata rantai yang masih terbenam di pipi mulia baginda itu, namun Abu Ubaidah merayu: “Demi Allah wahai Abu Bakar biarlah aku yang mencabutnya.”

Abu Bakar memberikan laluan. Lalu Abu Ubaidah merapati Rasulullah SAW. Beliau sangat bimbang untuk menarik keluar mata rantai itu dengan tangannya, khuatir ia menyakiti Rasulullah SAW. Lalu beliau merapatkan mulutnya ke pipi baginda, dan menggigit dengan gigi kacipnya sekuat hati sehingga lerai mata rantai besi tersebut, memudahkan ia ditarik keluar. Giginya turut melebur bersama rantai tersebut. Namun beliau tidak mempedulikan. Beliau terus menggigit satu lagi mata rantai sehingga lerai bersama giginya yang kedua.
Melihat keadaan ini, Abu Bakar berkata “Sebaik-baik insan yang rongak adalah Abu Ubaidah.”

Abu Ubaidah adalah salah seorang antara 10 sahabat yang dijamin syurga. Di samping itu beliau juga sering ditugaskan oleh Rasulullah SAW mengepalai misi-misi ketenteraan dan juga dakwah. Baginda SAW bersabda:
“Setiap umat memiliki pemegang amanah. Dan pemegang amanah umat ini adalah Abu Ubaidah al-Jarrah.”

Abu Ubaidah menunjukkan sikap yang perlu dijadikan tauladan oleh setiap umat. Cinta beliau kepada Islam melebihi kasih terhadap bapa kandungnya sendiri. Inilah juga iman para sahabat yang menyertai perang Badar. Masing-masing berhadapan dengan ahli keluarga sendiri.

Muhasabah diri kita masing-masing. Apakah kita telah menyerahkan segala kecintaan kepada Allah dan RasulNya, ataupun masih terbelenggu dengan kasih terhadap ibubapa, anak-anak dan isteri sehingga menghalang kita dari berkhidmat untuk Islam.

25 Ramadhan 1438
20 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}