Home Pedoman Haraki

Kisah Sahabat – Abdullah Bin Ummi Maktum

11615
SHARE

 

SAHABAT DI SISI RASULULLAH (SIRI 8)

ABDULLAH BIN UMMI MAKTUM
 Buta di Dunia, Celik di Syurga 

Sahabat ini dilahirkan sebagai buta. Memeluk Islam sejak awal kenabian di Mekah. Juga seorang Quraisy. Rombongan pertama sebaris Mus’ab bin Umair yang berhijrah ke Madinah, menjadi pendakwah Islam dan penyampai kitab suci al-Quran.

Sejak Islam, beliau sangat cintakan al-Quran dan ilmunya. Ada sahaja peluang, pasti beliau akan merebutnya untuk mendengar kalam Allah dari mulut baginda SAW.

Suatu hari di Mekah, Nabi SAW bertemu dengan pembesar-pembesar Quraisy. Baginda berusaha menyampaikan dakwah mengharapkan pembesar itu menerima Islam. Islamnya seseorang yang berkedudukan tinggu seperti mereka sangat penting untuk kelansungan dakwah masa itu.

Tiba-tiba datang Abdullah ibn Ummi Maktum kepada Rasulullah, meminta dibacakan ayat-ayat al-Quran:
“Ya Rasulullah! Ajarkan aku apa yang Allah ajarkan pada kamu.”

Kerana buta, Abdullah tidak tahu dihadapan Nabi itu terdapat ramai VIP yang perlu dilayan baginda. Sikap Abdullah mengulang permintaannya beberapa kali membuatkan baginda merasa tidak selesa, maka baginda tidak menghiraukan permintaan Abdullah sehingga menarik muka masam dan berpaling.

Tatkala itu juga turunlah firman Allah SWT:

“Dia ( Muhammad ) bermuka masam dan berpaling. Kerana seorang buta datang kepadanya. Tahukah kamu, barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya?
Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya. Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau mereka tidak membersihkan diri (beriman). Adapun orang yang datang kepadamu dengan bergegas (untuk mendapatkan pengajaran), sedangkan ia takut kepada (Allah), maka kamu mengabaikannya. Sekali kali jangan (begitu)! Sesungguhnya ajaran Allah itu suatu peringatan. Maka siapa yanag menghendaki tentulah ia memperhatikannya. (Ajaran ajaran itu) terdapat di dalam kitab-kitab yang dimuliakan, yang ditinggikan lagi disucikan, di tangan para utusan yang mulia lagi (senantiasa) berbakti.”
(Abasa:1 – 16).

16 potong ayat Allah, turun demi seorang buta!

Sejak menerima teguran Ilahi itu, Abdullah dimuliakan oleh Nabi SAW setiap kali dia datang. Diperuntukkan tempat khas untuknya, menyambut kedatangannya dengan bersungguh, bertanya keperluannya dan menunaikan segala permintaannya.

Di Madinah dia bergandingan dengan Bilal bin Rabah sebagai muazzin. Adakala Bilal azan dan dia Iqamah dan adakala dia azan manakala Bilal pula Iqamah. Pada waktu pagi bulan Ramadhan, Bilal akan melaungkan azan pertama untuk mengejutkan sahur manakala Abdullah akan azan Subuh.

Walaupun matanya buta, tetapi hatinya celik dan jiwanya tinggi untuk agama Islam. Walaupun diberikan pengecualian dari menyertai peperangan, beliau tidak mahu duduk sahaja sedangkan orang lain keluar berjihad. Beliau meminta daripada Rasulullah untuk turut sama ke medan perang dengan berkata:
“Letakkan aku di tengah-tengah antara dua pasukan (Islam dan musuh). Serahkan kepada aku panji, biar aku yang memegang dan melindunginya.

Jangan bimbang. Aku seorang buta. Aku tak mampu untuk lari.”

Pada tahun 14 hijrah, Saidina Umar telah mengerahkan umat Islam untuk memerangi Parsi habis-habisan. Umat Islam segera menyahut seruan khalifah itu, termasuklah si buta Abdullah bin Ummi Maktum.

Seperti biasa, Abdullah diberi tugas memegang panji Islam. Dipakaikan kepadanya baju besi, dan diletakkannya di tengah.

Berlakulah perang Qadisiyyah yang dahsyat. Perang berlanjutan sehingga tiga hari lamanya. Akhirnya Islam diberikan kemenangan oleh Allah taala. Parsi gugur di tanahair sendiri. Islam tertegak di bumi syirik itu, meletakkan Islam sebagai kerajaan terbesar di dunia.

Namun, bayaran kemenangan itu juga besar. Beratus pejuang Islam terkorban menemui syahid. Di antara mereka adalah si buta Abdullah bin Ummi Maktum..

Jasad beliau ditemui terkujur kaku. Berlumuran darah. Berbaring dalam keadaan memeluk panji Islam..

Berbahagialah Abdullah di alam sana. Walaupun dihijab pandangannya di dunia, pasti di sana mendapat sepasang mata yang dapat melihat apa sahaja segala keindahan dan nikmat di syurga.

Malulah kita yang sempurna segala sifat. Tetapi sangat berkira walau untuk mengalirkan setitis peluh di jalan Allah.

8 Ramadhan 1438
3 Jun 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

{jathumbnail off}