Home Berita PAS Terengganu

Kilang Rempah Cap Bunga Rose Sasar Jualan RM6.6 Juta Tahun Ini

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd, pengeluar produk rempah masakan di bawah jenama Cap Bunga Rose milik bumiputera di sini, menyasarkan jualan sebanyak RM6.6 juta pada tahun 2025.

Pengarah Jualan, Pembangunan Perniagaan & Perkongsian Strategiknya, Kamarul Hassan berkata, berbanding tahun lalu, jualan yang dicatat adalah sekitar RM5 juta dan peningkatan ini bakal disumbangkan daripada aktiviti promosi yang dipertingkat selain strategi pemasaran yang lebih efektif.

Menurut beliau, program promosi pada tahun ini juga lebih menarik kerana syarikat telah melantik ‘Importers’ baru di Indonesia bagi membantu mengukuhkan lagi rangkaian pengedaran di negara terbabit.

“Sebenarnya kita sudah bertapak di Indonesia sejak 2022 lagi selepas dapat sijil import Indonesia dan sekarang kita dapat ‘Importers’ yang baru.

“Mereka (‘Importers’) telah menyusun produk Rempah Cap Bunga Rose ini dengan yang cara lebih jelas di mana menggunakan reka bentuk dan juga nama produk yang diinspirasikan oleh pihak di Indonesia selain menyusun strategi untuk memasuki pasaran yang lebih besar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman bersama Ketua Pegawai Eksekutif YPU Terengganu, Afnida Aini Alwi dan Pengarah MATRADE Wilayah Timur, Amilatun Fazlina Zakaria ke kilang Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd di Kepong, baru-baru ini.

Berkongsi bagaimana perusahaan rempah berkenaan bermula, Kamarul berkata semuanya dibuat secara kecil-kecilan.

“Rempah Cap Bunga Rose bermula kira-kira 57 tahun lalu iaitu pada 1968. Pada masa itu, emak saya, Hajah Kembang Abd Rahman hanya membuatnya dirumah untuk digunakan dalam masakan keluarga selain dijual kepada jiran, rakan dan sanak saudara.

“Pada masa sama, arwah ayah, Haji Hassan Majid turut jual di pasar berdekatan dengan menunggang basikal. Selepas mendapat reaksi positif daripada orang ramai, maka dari situ bermulalah pelbagai inisiatif dilakukan oleh emak terutamanya dalam mencipta resipi tersendiri bagi mengkormesialkan rempah buatannya,” ujar beliau.

Kamarul berkata, kini berkat kesabaran dan kerja keras mereka sepuluh beradik, perusahaan Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd terus berkembang sehingga berjaya mempunyai dua kilang yang masing-masing beroperasi di Kampung Kepong, Kuala Terengganu dan juga di Bukit Kor, Marang dengan kekuatan 34 pekerja.

“Kami mengeluarkan rempah masak dan rempah gulai yang diproses menjadi kering dalam bentuk serbuk sehingga popular di segenap negeri dan menepati citarasa ramai, malah kebanyakkan kedai makan yang menyediakan juadah nasi dagang menggunakan rempah keluaran syarikat kami untuk memasak gulai ikan tongkol,” ujarnya.

Katanya, selain dua jenis rempah tersebut, syarikat keluarganya itu turut memproses serbuk kacang hijau dan juga pes gulai ayam.

Seperti pengusaha lain, Kamarul berkata, beliau dan adik beradiknya mempunyai wawasan untuk terus maju dalam bidang keusahawan yang mereka warisi dan mengharapkan perniagaan tersebut dapat dipertahankan dari generasi ke generasi.

“Kami berhasrat untuk memasarkan produk Syarikat Hassan Majid Sdn. Bhd sehingga menembusi pasaran dunia memandangkan Rempah Cap Bunga Rose ketika ini telah mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat di Indonesia dan turut ‘terbang’ ke Australia,” ujarnya.

Dan terbaru katanya, syarikat mereka juga mempunyai Pusat Informasi & Cenderamata berasaskan produk Rempah Cap Bunga Rose yang beroperasi di Pasar Payang bermula Januari lalu bagi memenuhi tempahan ‘goodies’ perkahwinan, hantaran, dan hadiah VVIP.

Sementara itu, Ariffin turut merakamkan ucapan tahniah kepada syarikat terbabit yang telah menerima pelbagai anugerah termasuk yang terbaru The Most Sustainable Company dalam Majlis Anugerah Usahawan (MARA) 2023/2024 pada Disember lalu.