Oleh : HABSAH ALI
INDERA MAHKOTA, 24 Feb :: Sebuah kilang memproses sisa elektronik (e-waste) masih lagi beroperasi walaupun telah dikenakan saman dan diarah menghentikan operasi oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu telah membuat aduan di Balai Polis Gebeng dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan dan penguatkuasaan undang-undang di sini kelmarin.
“Pihak saya memandang berat perlanggaran undang-undang yang serius seumpama ini yang seolah-olah meremehkan tugas anggota penguatkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang.
“Kita akan terus memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa dalam menjalankan tugas mereka terutama melibatkan kepentingan awam”, kata Andansura Rabu.
Tambah beliau, sebelum ini pihaknya telah bersama dengan Operasi Bersepadu iaitu Jabatan Alam Sekitar, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja serta petugas media arus perdana membuat serbuan ke kilang berkenaan setelah mendapat aduan dari orang awam.
Dalam serbuan tersebut, 600 tan bahan buangan elektronik dijumpai di kilang itu dan dipercayai dalam proses menghasilkan jongkong aluminium yang tidak diketahui destinasi pasarannya.
Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang menyarankan jika kilang ini mahu beroperasi semula, proses perundangan dan kelulusan perlu dipatuhi dengan sewajarnya.
“Selain itu ia juga akan menjadi satu pengajaran dan ingatan kepada pihak-pihak lain di masa akan datang bahawa setiap kesalahan yang dilanggar akan diambil tindakan”, ujar beliau lagi.