Home Berita PAS Perak

Khairi, Ketua Cawangan PAS Medan Klebang Restu kembali ke rahmatullah

287
SHARE

Oleh : Haikal Mohd Noh dan Danisya Ismail

TAMBUN, Mohd Khairi Ramli, Ketua Cawangan PAS Medan Klebang Restu meninggal dunia akibat daripada masalah pernafasan daripada kesan jangkitan Covid-19 di Medan Klebang Restu dekat sini pagi tadi.

Allahyarham yang baru sembuh dan dikeluarkan dari wad pulih Covid-19 itu meninggal dunia pada usia 53 tahun dan turut meninggalkan seorang balu yang tidak bekerja serta tiga orang anak.

Penyelia Pusat Khidmat PAS DUN Manjoi, Hafez Sabri menerusi hantaran di Facebook berkata, Allahyarham merupakan seorang yang sangat mengambil berat keadaan masyarakat.

“Setiap kali program saya di Medan Klebang Restu, beliau sentiasa ada di sisi menemani dan terus cekal menjalankan tanggungjawab yang diberi jemaah.

“Apabila saya bertanya kepada beliau berkaitan keadaan masyarakat dan perjalanan jemaah di cawangan, beliau sentiasa memberi gambaran positif,” ujarnya.

Khairi yang mula menjawat jawatan sebagai ketua cawangan pada tahun 2018 itu juga merupakan Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek, Medan Klebang Restu.

Penduduk sekitarnya turut mengenali beliau dengan watak seorang yang sangat murah dengan senyuman, lembut dalam bertutur dan sangat disenangi ramai.

Semasa hayatnya, beliau merupakan seorang yang sangat suka menginfaqkan hartanya membantu kelancaran program-program PAS dari segi tenaga, makanan dan minuman.