Home Berita PAS Selangor

Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Shah Alam – Kerajaan PH Selangor Tidak Serius Tangani Pencemaran Air

964
SHARE

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi sehingga jam 6:30 petang ini kerana pencemaran masih lagi dikesan di muka sauk loji-loji dan berada pada tahap 3 TON.

Menurut kenyataan media daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), insiden pencemaran ini disyaki berpunca dari premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melakukan pelepasan berbau seakan pelarut ke dalam sungai. Sungai Gong merupakan anak sungai kepada Sungai Sembah yang merupakan anak sungai utama Sungai Selangor. Notis penutupan premis perindustrian ini telah dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan pada jam 2.30 petang semalam.

Walaupun penutupan premis ini telah dilaksanakan, baki kesan pencemaran ini masih lagi berada di dalam sungai. Dalam tempoh ini, Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,700 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada para pengguna di 1,292 kawasan dan gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka akan mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya kerana keempat-empat loji telah dihenti tugas melebihi 10 jam.

Difahamkan, ini bukanlah kali pertama berlakunya pencemaran teruk yang dilakukan oleh kilang-kilang berkenaan.

Sekadar mengarahkan penutupan kilang selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan kerja pembersihan serta notis amaran dilihat gagal membendung masalah yang berulang ini.

Pihak berwajib di bawah pemerintahan Pakatan Harapan di Selangor perlu mengambil tindakan lebih tegas dengan menutup terus semua kilang yang menjadi penyebab kepada pencemaran sungai sehinggakan terpaksa rakyat yang tidak berdosa menanggung sengsara dan derita.

Rakyat sudah bosan dan mual dengan alasan sama punca pencemaran air di Selangor.

Ini bukan kali pertama berlaku di dalam tahun 2020 malahan sudah lima kali kes yang sama terjadi antaranya berpunca daripada sumber kilang yang pernah dikompaun sebelum ini.

Alasan yang sama tetapi tindakan tidak proaktif menyebabkan rakyat menjadi mangsa sehingga krisis air di Selangor seakan satu upacara wajib yang rakyat Selangor harus hadapi.

Saya berasa amat kesal di atas kegagalan kerajaan Pakatan Harapan menangani isu gangguan air yang semakin kerap di dalam negeri termaju di Malaysia.

Tindakan paling tegas perlu diambil oleh pihak berwajib dengan menarik balik lesen atau menutup sahaja kilang daripada beroperasi dalam satu tempoh yang bersesuaian agar menjadi pengajaran kepada kilang terlibat dan juga kilang-kilang yang lain.

Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani
Yang Dipertua
PAS Kawasan Shah Alam

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#MediaPASSelangor