Home Berita PAS Selangor

Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Sepang – Cabaran Politik Terkini Menjelang PRU15

803
SHARE

Sepang, Selangor | 22 Ogos 2020

Oleh: Ir. Mohd Haslin Hassan Yang Di-Pertua PAS Kawasan Sepang

Untuk mencipta dan mencapai kejayaan, ikhtiar adalah salah satu cara yang menjadi kewajipan yang mesti dilaksanakan. Ikhtiar juga menuntut kita untuk bermuhasabah terhadap tingkah laku masa lalu dan memperbaiki diri mendepani cabaran semasa.

Tiada makna kita melakukan muhasabah, jika dalam diri tiada kefahaman dan kesedaran untuk melakukan pembaikan (mujahadah). Dalam surah as-Saf ayat 2-3, Allah memberi amaran keras kepada mereka yang banyak bercakap tetapi gagal melaksanakannya, termasuk menunjukkan tauladan.

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ ۝ كَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُوا۟ مَا لَا تَفۡعَلُونَ .

“Wahai orang-orang yang beriman, apakah kamu berkata sedangkan kamu tidak melakukannya? Amat besarlah kemurkaan Allah, kamu berkata, tetapi kamu tidak melaksanakannya”.

Muafakat Nasional (MN) dibina atas asas untuk mengukuh dan menstabilkan kuasa politik Islam/Melayu. Apapun yang berlaku di sepanjang perjalanan selepas permeteraian Piagam Muafakat Nasional, ianya merupakan proses bagi mencapai matlamat tersebut. Seharusnya tidak timbul tuduhan ada pimpinan MN yang curang ataupun khianat. Melainkan jika mereka ada niat untuk agenda dan kepentingan peribadi.

Menjelang setahun usia MN, pimpinan dan ahli-ahli PAS dan UMNO seharusnya sudah banyak berubah cara berpolitik. Jika sebelum ini cara berpolitik kita adalah permusuhan dan perseteruan, tetapi politik masakini dan mendatang, memerlukan kaedah dan cara matang, rasional dan toleransi berpaksikan agama (Islam) yang mampu menyatukan semua perbezaan bagi membina negara yang stabil dan sejahtera.

Tentu sekali umat Islam/Melayu negara ini tidak mahu mengulangi kesilapan lampau sehingga menatijahkan DAP berada di puncak kuasa negara. Selama 22 bulan mereka memerintah, banyak polisi yang dilaksanakan mengundang kegelisahan rakyat malah telah menakutkan pelabur asing sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Selama tempoh itu juga perpaduan kaum mula dinodai, malah keluhuran perlembagaan dan undang-undang dilihat seolah-olah seperti tidak dihormati. Agama Islam yang merupakan agama rasmi negara cuba dinafikan, malah institusi raja berpelembagaan dengan sewenang-wenangnya mahu dipertikaikan.

Cukuplah PAS dan UMNO bersengketa selama lebih 60 tahun. Hikmah kekalahan PAS, UMNO/BN dalam PRU14, sewajarnya menjadi teladan untuk sama-sama mengurus segala perbezaan secara matang dengan melihat perkara yang lebih besar untuk dicapai menjelang PRU15 iaitu kuasa politik Islam/Melayu mesti memimpin negara dengan tidak sesekali mengenepikan kepentingan kaum-kaum lain.

Menjelang PRU15 ataupun pilihanraya mengejut, banyak naratif dan persepsi, yang sedang rancak dimainkan. Ahli-ahli di peringkat bawahan perlu berdisiplin dalam mengulas atau melontarkan pandangan. Manakala pimpinan, mesti segera menyantuni dan menyampaikan penjelasan secara berstruktur kepada ahli-ahli bawahan dengan segera dan berkesan. Usah dibiarkan masa berlalu untuk mengharapkan mereka memahami sendiri. Ingat, setiap detik masa berlalu, jika dibiarkan, barah yang kecil mampu membesar dan akhirnya boleh membunuh.

Kepada umat Islam dan rumpun Melayu serta rakyat Malaysia yang cintakan kemakmuran dan kesejahteraan, marilah sama-sama kita membina dan berusaha merealisasikan politik matang dan sejahtera. Elakkan politik permusuhan yang menghancur dan merugikan negara. Untuk mencapai tujuan tersebut, semua parti-parti politik Islam/Melayu mesti hadam dan fahami erti kerjasama politik (ta’awun) demi mencapai keutamaan yang sama. Pastikan PH-DAP tiada dalam kamus pemerintahan negara.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemimpinPerpaduan
#MediaPASSelangor