Home Berita PAS Pusat

Kesultanan Perlak: Konflik Dan Keruntuhan

1257
SHARE
Gambar sekadar hiasan

DAULAH ISLAMIYAH MELAYUWIYAH
Siri 14
KESULTANAN PERLAK: KONFLIK DAN KERUNTUHAN


SEBAGAI daulah Islam yang pertama di Nusantara dan berdiri selama 452 tahun, Perlak terpaksa juga melalui perit dan getir dalam mempertahankan kelangsungannya. Seperti mana runtuhnya beberapa daulah Islam yang besar ketika itu seperti Daulah Ummayah (750M), Fatimiyah (1179M), Ayubiyyah (1250M) dan Abbasiyah Baghdad (1258M), akhirnya Perlak turut mengalami nasib yang sama. Salah satu faktor utama kelemahan dan keruntuhan Perlak ialah akibat serangan besar-besaran yang dilakukan oleh Sriwijaya dalam perluasan pengaruh mereka. Namun begitu, keruntuhan Perlak bukanlah dalam erti kata runtuh yang sebenar, tetapi kerajaannya diserap masuk dalam Kerajaan Samudera-Pasai kerana ketiadaan waris takhta. Percantuman Perlak ke dalam Samudera-Pasai telah menamatkan sejarahnya yang berusia hampir setengah abad itu.

Sepanjang sejarah Perlak selama 452 tahun, tidak banyak krisis dan pergolakan besar yang berlaku, sekali gus membolehkan kerajaan ini bertahan dalam tempoh yang lama, walaupun ia adalah kerajaan Islam yang pertama di Nusantara. Krisis terbesar yang dihadapi pada hujung abad kesembilan Masehi dan berlanjutan lebih sedekad, adalah kerana pertembungan antara Sunni dan Syiah. Kejayaan kelompok Sunni menguasai Perlak telah menamatkan sama sekali pengaruh Syiah di Nusantara dan seluruh rantau ini menjadi wilayah Sunni. Selepas krisis Sunni-Syiah berakhir, hampir tidak ada catatan berkait dengan krisis-krisis dalam negara di Perlak, sehinggalah Sultan Makhdum Alaiddin Malik Mohamad Amin Shah Johan Berdaulat II (1230-1267M) bersemenda dengan Raja Samudera yang menyebabkan kerajaannya diserap masuk ke dalam wilayah yang baru di-Islamkan itu.

Krisis Syiah-Sunni: Perpecahan Awal

Kemasukan pengaruh Sunni di Perlak ekoran penubuhan Dayah Bukit Ce Breek pada zaman Sultan Sayyid Abdul Rahim Shah (864-888M) telah menggugat kestabilan politik Perlak yang beraliran Syiah sebelumnya. Para ulamak yang dibawa dari Parsi dan Arab ke Perlak untuk mengajar di dayah tersebut telah menyebarkan fahaman Sunni, terutama kepada keluarga Meurah Shahrun Nuwi. Ini menyebabkan timbul krisis takhta selepas kewafatan Sultan Sayyid Abdul Rahim Shah pada 888M di mana Sultan Sayyid Abbas Shah (888-913M) mulai tergugat dengan gerakan untuk menaikkan semula keturunan Meurah Shahrun Nuwi menggantikan keturunan Sayyid Ali. Ketika Sultan Sayyid Abbas wafat pada 913M, perebutan takhta telah membawa kepada pergolakan dan perang saudara. Perang ini berlangsung selama dua tahun, yang berkesudahan dengan kemenangan Dinasti Sayyid, lalu Sultan Sayyid Ali Mughyat Shah (913-918M) dapat menjadi raja. Namun, ia mengakibatkan Perlak berpecah dua kepada Perlak Pesisir dan Perlak Pedalaman.

Perlak Paroh di selatan yang dikuasai oleh Sultan Sayyid Ali Mughyat Shah menjadi kerajaan Syiah, sedangkan Perlak Tunong di utara dikuasai oleh Sultan Makhdum Malik Ibrahim yang beraliran Sunni. Selepas kematian Sultan Sayyid Ali Mughyat Shah pada 918M, berlaku semula pergolakan perang saudara selama hampir 10 tahun, sehingga Sultan Makhdum Malik Abdul Kadir yang beraliran Sunni dapat menguasai dan menyatukan kedua-dua kerajaan pada 928M dan pihak Sunni menjadi kerajaan baru di Perlak di bawah Dinasti Johan Berdaulat, iaitu keturunan Meurah Shahrun Nuwi. Sejak Dinasti Johan Berdaulat dapat menguasai kerajaan, boleh dikatakan hampir tiada lagi pergolakan yang melibatkan perebutan takhta. Salah faktor yang membolehkan penyatuan semula Perlak ialah kerana gerakan yang dilancarkan oleh Sriwijaya untuk meluaskan jajahan mereka ke utara, sehingga wilayah Deli dan Aru dapat dikuasai, termasuk jatuhnya kerajaan Langkasuka di Semenanjung Tanah Melayu ke tangan Sriwijaya. Demi mempertahankan kelangsungan politik Perlak, wilayah yang berpecah ini bersatu semula di bawah Sultan Makhdum Malik Ibrahim Shah Johan Berdaulat (986-1023M).

Serangan Sriwijaya dan Penyatuan Perlak

Pada akhir alaf pertama Masehi, kerajaan Buddha Sriwijaya telah melakukan perluasan wilayahnya ke bahagian utara Nusantara meliputi utara Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Ligor. Berdasarkan Prasasti Ligor (775M), perluasan Sriwijaya ke bahagian utara ini berlaku pada akhir abad kelapan Masehi. Sebelum ini, Sriwijaya telah menguasai Minangatamwan (Jambi) pada 658M, sebelum menjajah Kedah (682-685M) dan menyerang Jawa pada 686M. Kejayaan perluasan ini telah mendorong Sriwijaya untuk menguasai utara Sumatera, dan dikatakan serangan Sriwijaya ke atas Perlak berlaku pada zaman Sultan Malik Ibrahim Shah Johan Berdaulat (986-1023M), di mana serangan telah berlaku selepas kewafatan Sultan Abdul Malik Shah Johan Berdaulatan (856-983M). Disebabkan oleh serangan Sriwijaya ini, raja baru Perlak tidak dapat bertakhta sehingga baginda dapat menyatukan semula semua wilayah Perlak yang berpecah kerana isu Sunni-Syiah sebelumnya. Raja Sriwijaya, Raja Sri Sudamaniwarmadewa dan Raja Marawijayo Tunggawarman telah menyerang Perlak dan mengadakan hubungan rapat dengan kerajaan Chola di India, untuk mengepung wilayah Islam ini.

Ketika Sriwijaya sedang mengepung Perlak, sebagai wilayah terakhir yang akan dikuasai selepas Kedah, Langkasuka dan Ligor dikuasai oleh mereka, di selatan Sriwijaya berlaku serangan daripada Dharmawangsa pada 1006M, diikuti oleh serangan Chola ke atas Sriwijaya pada 1007M. Keadaan ini memaksa Sriwijaya meninggalkan Perlak tanpa mencapai kemenangan. Sebahagian pengkaji mengatakan serangan Sriwijaya ini memberi kesan besar terhadap kelangsungan kuasa Perlak ke atas wilayah-wilayah kecil di Aceh. Kekuatan Perlak telah terjejas sehingga ia menjadi salah satu punca kemerosotan kerajaan ini kemudiannya. Namun begitu, walaupun Perlak mengalami kerugian tentera, politik dan ekonomi yang besar akibat serangan ini, dari sudut yang lain, Sultan Perlak berjaya menjadikan serangan ini asas untuk menyatukan kembali Perlak dan menamatkan pergolakan dalaman, sehingga Perlak dapat berdiri kukuh di bawah Dinasti Johan Berdaulat ini untuk 200 tahun sehingha 1292M.

Pembubaran Perlak dan Kemunculan Samudera-Pasai

Sultan Makhdum Aladdin Muhammad Amin Shah Johan Berdaulat II (1230-1267M), telah melalukan hubungan diplomatik dengan raja-raja sekelilingnya untuk mengukuhkan kedudukan kerajaannya. Dikatakan, baginda mengahwinkan dua puterinya dengan kerajaan-kerajaan sekitar, termasuk mengahwinkan puterinya, Puteri Ganggang Sari (Puteri Raihani) dengan Raja Pasai, Meurah Silu. Perkahwinan politik ini merapatkan hubungan kedua-dua kerajaan yang telah Islam. Selepas, kewafatan Sultan Muhammad Amin Shah Johan Berdaulat pada 1267M, putera baginda, Sultan Makhdum Aladdin Malik Abdul Aziz Shah Johan Berdaulat (1267-1292) telah menjadi sultan. Selepas kematian Sultan Malik Abdul Aziz Shah Johan Berdaulat, iparnya, Meurah Silu, Raja Samudera-Pasai telah bertindak menggabungkan kerajaan Perlak ke dalam kerajaan Samudera-Pasai untuk membentuk sebuah kerajaan Islam yang lebih besar. Sejak itu, berakhirlah sejarah kerajaan Perlak sebagai daulah Islam yang pertama di Nusantara.

Keseluruhannya, kerajaan Perlak yang berdiri sejak 840M adalah kerajaan Islam yang pertama di Alam Melayu. Pada peringkat awal, Islam yang berkembang adalah beraliran Syiah yang didukung oleh Dinasti Sayyid, sebelum Dinasti Johan Berdaulat mengembangkan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah. Walaupun Perlak adalah sebuah kerajaan Islam yang baru dan terawal di Nusantara, mereka telah berjaya melaksanakan syariat, membangunkan pendidikan Islam dan mengembangkan dakwah ke seluruh Nusantara. Dalam tempoh 452 tahun ini, walaupun terpaksa berhadapan dengan beberapa krisis, perebutan takhta dan serangan luar, namun Perlak tetap menjadi sebuah pelabuhan yang terkenal pada abad ke-10 hingga 13M yang dikunjungi oleh pedagang dari China, India, Arab, Parsi dan Alam Melayu sendiri, sehingga ia menjadi pemangkin kepada perkembangan Islam.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
15 Syawal 1439 / 29 Jun 2018