Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Kerajaan Prihatin : Wanita Sejahtera

186
SHARE

Dewan Rakyat yang bersidang pada 21 Mac 2022 telah meluluskan RUU Kerja (Pindaan) 2021 (D.R.1/2021) dengan pindaan dalam jawatankuasa untuk tempoh cuti bersalin daripada cadangan pindaan 90 hari kepada 98 hari selaras dengan Konvensyen Perlindungan Bersalin, 2000 (No.183) dan cuti paterniti daripada tiga (3) hari kepada tujuh (7) hari.

Lajnah Pembangunan Keluarga Dewan Muslimat PAS Malaysia (LPK DMPM) melahirkan rasa syukur dan merakamkan rasa terima kasih dan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan terhadap wanita dan keluarga.

Sumbangan wanita yang menyeluruh dalam keluarga dan pembangunan negara tidak dapat dinafikan dan sewajarnya diberikan penghargaan dan perhatian. Semoga dengan pindaan undang-undang ini dapat memberikan kerehatan daripada sudut fizikal, emosi dan mental kepada seluruh wanita untuk kembali berperanan mencurah bakti di tempat kerja selepas tempoh bercuti dengan lebih baik lagi. InsyaAllah ia akan memberikan impak baik kepada produktiviti organisasi kelak.

Selain itu, tempoh-tempoh terawal dalam usia kelahiran anak juga dapat dipenuhi dengan lebih berkesan untuk pemantauan perkembangan anak dan menjalinkan hubungan ibu anak yang tentunya amat bernilai dalam perkembangan awal anak-anak kita. Anak-anak yang sihat mental, emosi dan fizikal inilah yang akan membesar menjadi aset utama negara.

Cuti paterniti kepada para suami juga diharapkan dapat memudahkan pelbagai urusan kelahiran anak dan memberi sokongan moral kepada wanita saat menghadapi kesukaran dalam tempoh-tempoh awal melahirkan.

Sehubungan itu, LPK DMPM sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan atas keprihatinan ini dan berdoa ia diluluskan pula di Dewan Negara serta menjadi undang-undang yang berkuat kuasa.

‘Islam Memimpin Wanita Sejahtera’
‘Islam Menyatukan Ummah’
‘Saksama Bersama

YB Dato’ Hajah Siti Ashah binti Hj Ghazali
Pengerusi Lajnah Pembangunan Keluarga
Dewan Muslimat PAS Malaysia
23 Mac 2022 | 20 Syaaban 1443H