Home Artikel PAS Perlis

Kerajaan Negeri Lulus RM100 Ribu Bina Tebatan Banjir

1002
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Penduduk di sekitar Kampung Titi Besi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji dekat sini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan Negeri Perlis telah meluluskan peruntukan bagi membina tebatan banjir bagi mengatasi masalah banjir kilat  yang sering berlaku di kawasan berkenaan.

Menurut ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, kerja-kerja pembinaan projek tebatan banjir di Sungai Arau yang bernilai RM100,000 itu dijangka akan bermula sebaik sahaja mendapat kelulusan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Negeri Perlis.

“Proses kelulusan projek ini sedang dilakukan oleh pihak JPS dan dijangka mengambil masa kira-kira 2 hingga 3 bulan.

“Mereka juga telah memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan akan mula dilaksanakan pada penghujung Julai atau awal bulan Ogos nanti,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau ditemui ketika memantau keadaan banjir kilat yang berlaku di kampung tersebut semalam.

Ujarnya lagi, hujan lebat yang turun di hampir semua kawasan di negeri ini sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan berlakunya limpahan air di hulu Sungai Arau dan kolam tadahan banjir di Felda Chuping yang menjadi punca banjir kilat di kawasan berkenaan.

Justeru beliau berharap agar para penduduk dapat bersabar sementara menanti projek tebatan banjir dilaksanakan tidak lama lagi.