Home Berita PAS Pahang

Kerajaan disaran sedia perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di kawasan luar bandar

33
SHARE

Oleh: KHAULAH AL AZWAR

LIPIS, 23 Jun – Sesuai dengan hasrat menjadikan Malaysia negara bersih bebas pencemaran, kerajaan disaran menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di kawasan luar bandar.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Roslan Zainal berkata, ini termasuklah menyediakan perkhidmatan pungutan sisa pepejal di kawasan-kawasan kampung tradisional yang tidak termasuk di dalam kawasan operasi PBT.

Beliau berkata, secara purata setiap rakyat Malaysia menghasilkan 0.8 kilogram sampah setiap hari dan jumlahnya bertambah besar jika mengambil kira individu yang tinggal di bandar yang dianggarkan menghasilkan 1.5 kilogram sampah setiap hari.

Beliau merujuk statistik dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa seberat 16,247 tan sampah dihasilkan di Malaysia setiap hari pada tahun 2001.

Negeri Selangor ujarnya, mendahului negeri-negeri lain dengan penghasilan sampah sebanyak 2,955 tan sehari. Ini diikuti dengan Kuala Lumpur (2,634 tan/hari), Johor (2,002 tan/hari), Perak (1,596 tan/hari) dan Kedah (1,383 tan/hari).

“Pengurusan sampah di Malaysia bertambah baik di kawasan kawasan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT), namun di kawasan kampung tradisional di kebanyakan negeri belum ada usaha praktikal pihak kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan kutipan dan pelupusan sampah.

“Sebagai contoh di daerah Lipis ni, Kampung Kerambit adalah kampung induk kepada beberapa kampung di sekitarnya, maka amat munasabah perkhidmatan pelupusan sisa pepejal tersebut dapat disediakan di kampung itu.

“Penduduk kampung bukan sekadar berdepan dengan masalah sisa pepejal hasil kegiatan mereka sendiri tetapi juga sisa pepejal daripada aktiviti perindustrian, pembinaan, dan perniagaan yang dibuang oleh pihak luar di kawasan kampung mereka.

“Malah dalam kes serius, ada insiden sampah dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab di tepian jalan utama dan di tebing sungai. Insiden ini jika dibiarkan akan mendatangkan impak negatif kepada alam sekitar, kesihatan, dan keselamatan,” ujar Roslan yang juga Yang Dipertua PAS Lipis dalam satu hantaran di laman Facebook beliau semalam.

Justeru, kerajaan disaran sekurang- kurangnya menyediakan perkhidmatan tong sampah berpusat (leach bin/RORO bin) di kawasan strategik awam di kawasan kampung tradisional terutamanya di pinggir bandar atau kampung yang dipilih sebagai pusat pembangunan komuniti.

Ujarnya, segala kos berkaitan perlu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tanpa memberikan bebanan kewangan kepada penduduk kampung sesuai dengan Akta 672 – Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Di samping itu, beliau turun menyarankan peruntukan kewangan tambahan khas bagi PBT bertaraf Majlis daerah untuk tujuan tersebut.