Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan berjaya pulihkan syarikat hampir ‘gulung tikar’

37
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu berjaya memulihkan semula syarikat Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) yang hampir ‘gulung tikar’ ketika era pentadbiran terdahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sewaktu PAS mengambil alih pengurusan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) itu pada Oktober 2018, TADC dalam keadaan ‘tenat’.

“Waktu itu syarikat ini diletakkan pada kod biru, lebih bawah daripada kod merah, ia bererti TADC bersedia untuk ditutup.

“Namun, alhamdulillah kerajaan baru berjaya pulihkan semula, sehingga kini ia berada pada kod warna kuning, insya-Allah akan bertukar hijau,” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata antara peranan besar yang dijayakan TADC sejak 2018 ialah menyelesaikan isu hasil pertanian semasa Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 pada Mac 2020.

“Kedua melalui TADC kita berjaya pulihkan projek Rimbunan Kaseh Rantau Abang di Dungun.

“Projek Rimbunan Kaseh ada di semua negeri, tetapi hanya yang di Terengganu berjaya dipulihkan.

“Seterusnya, projek tanah terbiar di Pengkalan Aman, Permaisuri dan Kampung Rahmat di Langkap juga berjaya diselesaikan,” katanya.