Home Berita PAS Perlis

Keperibadian Guru PASTI Prasyarat Pendidikan Efektif

3985
SHARE

Oleh : Nur ‘Iffah

KANGAR : Pendidikan yang efektif memerlukan 3 ciri murni dari seorang pendidik iaitu sifat peribadi yang baik, teladan yang baik dan mempunyai kualiti profesional, demikian dijelaskan Dato’ Takiyuddin Hassan, Setiausaha PAS Pusat ketika merasmikan sambutan Hari Guru PASTI Malaysia 2019 di Hotel Seri Malaysia Kangar pada 28 Jun yang lalu.

Katanya, sebagai seorang pendidik, setiap guru PASTI berperanan dalam memastikan kemenjadian murid menerusi usaha mendidik yang bersungguh-sungguh serta komited dengan tugas mereka.

Selain itu, beliau turut menyenaraikan beberapa ciri penting yang perlu ada dalam diri setiap guru agar guru PASTI serta institusi berkenaan terus dihormati dan diyakini masyarakat.

“Seorang guru yang memiliki sifat peribadi yang baik perlulah mempunyai rasa tanggungjawab terhadap institusi yang dipimpin serta kesabaran dan toleransi yang tinggi di dalam mendidik anak-anak di PASTI.

“Ciri kedua ialah mempunyai teladan yang baik. Seorang guru haruslah bersikap optimis dan positif dalam melaksanakan tugas selain dari berpenampilan baik dan kemas.

“Selain itu, para guru juga haruslah mempunyai kualiti profesional yakni sifat ingin tahu untuk meningkatkan kualiti kerja dan mencari instiatif terbaik dalam mendapatkan kaedah pembelajaran yang baru,” ujar beliau.

Beliau turut menyuarakan keyakinan beliau terhadap komitmen yang ditunjukkan oleh guru-guru PASTI dalam proses membangun dan melahirkan generasi profesional Islam yang akan menjadi penyambung kepada mata rantai perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

“Kita mahu PASTI menjadi institusi pendidikan yang berkualiti dan berada pada tahap tertinggi pada pandangan masyarakat.

“Di samping meningkatkan kuantiti, kita juga mahukan kualiti akademik dan kepimpinan anak-anak PASTI terjaga,” jelasnya lagi.