Oleh: Basith Samad
30 Ogos 2020
SANDAKAN: Muafakat Nasional perlu menetapkan keutamaan agenda politik yang jelas untuk membentuk pemerintahan yang lebih segar dan baharu di Sabah ini.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin berkata agenda politik Islam yang syumul perlu menjadi keutamaan kepada muafakat parti politik di Sabah untuk menuju ke arah kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan menjelang tiba.
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah kali ke 33 di sini hari ini.
“Politik Islam perlu dicernakan kepada rakan komponen di Sabah dalam Muafakat Nasional kerana agenda dapat membentuk tadbir urus yang baik, menjaga kepentingan Bumiputera khususnya Bumiputera Islam, menjauhi penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang selalu dikaitkan dengan parti politik di negeri ini.”
“Sekalipun banyak perbezaan pandangan dan isu yang cuba untuk merungkai perpaduan umat ini khususnya di Sabah, kita perlu mengambil sikap optimis dan berlapang dada dalam berhadapan permasalahan ini agar tidak memberi ruang kepada musuh politik dan musuh Islam yang sentiasa mengambil peluang untuk memecahbelahkan ummah,” katanya lagi.
Beliau turut memperingatkan pemuda PAS Sabah agar mengambil pengajaran daripada peristiwa hijrah Nabi Muhammad S.A.W yang menyatukan kaum muhajirin dan ansar di Madinah supaya tidak termakan dengan provokasi musuh sehingga memecahbelahkan perpaduan dan mengkhianati Muafakat Nasional.
Muktamar yang berlangsung dalam suasana pematuhan SOP itu juga telah dirasmikan oleh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah, Dr Aliakbar Gulasan dan dihadiri pemerhati daripada Pemuda PAS Pusat serta perwakilan dari 15 kawasan berdaftar.