Selamat Hari Guru : Guru Pembina Negara Bangsa
Firman Allah yang bermaksud: “Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat”. (Surah Al-Mujaadalah ayat 11).
Tanggal 16 Mei setiap tahun, merupakan hari yang bermakna bagi menunjukkan perhargaan yang tidak terhingga buat insan bergelar GURU yang tabah dan gigih dalam mendidik serta mempersada ilmu pengetahuan. Tidak sedikit pengorbanan para guru saban hari melayan pelbagai kerenah anak didik di samping bebanan rutin kerja harian yang pastinya memenatkan.
Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPN Pahang) mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh tenaga pendidik. Penghormatan dan dedikasi ini ditujukan khusus buat mereka.
Islam meletakkan posisi guru dalam kedudukan yang mulia dan dihormati. Sirah Nabawiyah membuktikan junjungan mulia, Nabi Muhammad (S.A.W) merupakan ikon seorang guru yang berjaya mendidik umat manusia menjadi insan yang berilmu dan bertakwa kepada Allah. Inilah ikon keteladanan yang terbaik buat insan bergelar guru.
Berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan Malaysia, populasi guru di Malaysia pada tahun 2016 sahaja sudah mencecah 421,828 orang. Bahkan profesion ini lah yang mendominasi sebahagian besar sektor awam di Malaysia. Ini membuktikan sumbangan guru bukan kecil nilainya dalam rangka membentuk generasi terbilang yang pastinya menghasilkan masa depan bangsa, negara dan ummah yang gemilang.
DPPN Pahang juga menyedari bahawa profesion keguruan pada abad ke-21 ini terdedah kepada pelbagai cabaran baharu yang berbentuk intelektual, kerohanian, kebudayaan, material, ideologi baharu dan isu etika dan lain-lain. Sewajarnya, pihak kerajaan mengambil perhatian serius terhadap kebajikan para pendidik khasnya profesion guru dalam menghadapi cabaran ini.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
USTAZ HAZMI DIBOK
Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang
19 Syaaban 1438H / 16 Mei 2017