Home Kenyataan Media PAS Wilayah

Kenyataan Media Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)

481
SHARE

Kebijaksanaan YDPA, Hikmah Rukun Negara Pupuk Politik Damai, Kesatuan Tangani COVID-19

  1. Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) menjunjung titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menerusi kenyataan media rasmi Istana Negara susulan pertemuan Ahli Majlis-Majlis Raja Melayu semalam.
  2. BPPWP juga memberi sepenuh keyakinan kepada keputusan Majlis Raja-Raja semalam berkenaan kertas cadangan pelaksanaan darurat oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin yang semestinya telah diperhalusi dengan begitu baik setelah melihat isu ini dengan mendalam demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
  3. Selain itu, dengan kepercayaan yang diberikan oleh YDPA kepada kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung COVID-19, BPPWP ingin mengajak rakyat Malaysia untuk bersama menggerakkan usaha-usaha kerajaan secara bersepadu.
  4. Seruan baginda agar seluruh rakyat bersatu hati pada masa yang sukar ini walaupun berbeza fahaman terutamanya fahaman politik wajar dihayati sebaiknya dan sebarang perbalahan yang tidak menguntungkan haruslah dielakkan sama sekali.
  5. Selaras dengan titah tersebut, BPPWP juga menyeru ahli-ahli politik untuk tidak mengutamakan kepentingan sendiri sehingga membawa kepada tindakan yang menggugat kestabilan dan kelancaran tadbir urus kerajaan sedia ada sebaliknya bersama-sama mencari titik persefahaman demi kesejahteraan rakyat.
  6. Ayuh kita zahirkan Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang dalam Rukun Negara yang sering kita laungkan demi negara Malaysia yang kita cintai.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)
26 Oktober 2020 | 9 Rabiulawal 1442