Home Kenyataan Media PAS Wilayah

Kenyataan Media Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)

963
SHARE

SOKONG GARIS PANDUAN BAHARU DBKL KETAT PERLESENAN PENJUALAN MINUMAN KERAS
DI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR (WPKL)

Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) ingin menzahirkan sokongan terhadap Garis Panduan dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras (Liquor Yang Memabukkan) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dikemukakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkuatkuasa 15 November 2020 yang lalu. 

Garis panduan dan syarat perlesenan baharu yang digariskan merupakan langkah awal yang signifikan dan tepat pada masanya. Perkara ini bagi memastikan pengawalan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti penjualan minuman keras berlaku secara terkawal demi kesejahteraan masyarakat awam khusus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Hal yang demikian disebabkan oleh kebimbangan masyarakat terhadap peningkatan kes-kes kemalangan disebabkan oleh pemandu mabuk yang telah menjadi isu nasional ketika ini. Peningkatan kes-kes tersebut telah mendorong kepada desakan terhadap pengawalan penggunaan (consumption) minuman keras dalam masyarakat pada hari ini.

Pada Jun yang lalu, BPPWP dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Strategik PAS Wilayah Persekutuan telah menyerahkan kepada pihak Kerajaan termasuklah Kementerian Wilayah Persekutuan suatu dokumen cadangan polisi berkenaan isu pemandu mabuk khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

Berdasarkan semakan sehingga kini, kira-kira 70 peratus daripada cadangan yang dikemukakan tersebut telah mendapat perhatian pihak berwajib. Langkah DBKL mengeluarkan suatu garis panduan baharu terhadap syarat permohonan lesen ini telah merangkumi sebahagian besar daripada cadangan polisi yang dikemukakan oleh pihak BPPWP sebelum daripada ini (rujuk LAMPIRAN A).

Antara beberapa aspek positif daripada dokumanGaris Panduan dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras adalah tidak lagi membenarkan lesen baharu terhadap penjualan mimuman keras (liquor yang memabukkan) di Kedai Runcit/ Serbaneka/ Ubat Cina berkuatkuasa 1 Oktober 2021, penetapan had masa penjualan minuman keras, kod warna bagi minuman yang minum di kedai atau boleh dibawa pulang serta perkhidmatan “designated driver” berbentuk e-hailing kepada pemabuk bagi mengelakkan kes-kes kemalangan.

Namun, masih terdapat beberapa aspek yang perlu diberi perhatian terutamanya penjualan bir yang masih dibenarkan di kedai runcit, serbaneka dan ubat cina selepas tempoh 1 Oktober 2021 meskipun had masa dan beberapa syarat ketat diletakkan oleh pihak DBKL. Hal yang demikian adalah kerana tafsiran minuman keras (liquor) dan bir yang masih tidak diselaraskan.

BPPWP akan terus memainkan peranan yang penting dalam memberikan pandangan konstruktif bagi memastikan kesejahteraaan masyarakat di Wilayah Persekutuan terus terjamin dan terpelihara. Pengawalan terhadap kemusnahan yang dibawa oleh minuman keras merupakan aspek penting yang tidak boleh sesekali dipandang enteng memandangkan ia adalah punca kerosakan sosial yang berlaku sejak sekian lama.

Sekian, terima kasih. 

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

“Wilayah Sejahtera”

USTAZ AZHAR BIN YAHYA

Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan

19 November 2020 | 3 Rabi’ Al-Akhir 1442H