Home Kenyataan Media PAS Kedah

KENYATAAN MEDIA PENDEDAHAN TANAH RIZAB MELAYU KEDAH: KELEMAHAN NIK NAZMI TERDEDAH

473
SHARE

KENYATAAN MEDIA

PENDEDAHAN TANAH RIZAB MELAYU KEDAH: KELEMAHAN NIK NAZMI TERDEDAH

1.PAS Kedah meneliti isu data Tanah Rizab Melayu Kedah sebagaimana yang didedahkan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Parlimen tempoh hari. Meskipun beliau mempertahankan data pengurangan Tanah Rizab Melayu di Kedah sebanyak 5,351.65 hektar bagi tahun 2021-2022, malangnya data yang dikemukakan tersebut bukan data terkini.

2.Persoalannya, mengapa Menteri tidak mendapatkan data terkini sebagaimana yang dibentangkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah?

3.Berdasarkan data yang terkini, ada beberapa perkara positif mengenai Tanah Rizab Melayu di Kedah;

Pertama, Tanah Rizab Melayu terkini di Kedah meningkat lebih daripada keluasan asal pada tahun 1933 berdasarkan perwartaan Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM).

Kedua, tanah rizab Melayu di Kedah berdasarkan Januari 2023 adalah 721,905.61 hektar sedangkan data Kementerian menunjukkan pada tahun 2022, data yang ditunjukkan adalah 716,514.28 hektar. Mengapa Menteri tidak dibekalkan data yang terkini?

Ketiga, Kedah masih mengekalkan Tanah Rizab Melayu yang tinggi dalam kalangan negeri di Semenanjung Tanah Melayu selepas Kelantan dan sebagainya.

4.Oleh itu, mengapa Menteri sengaja mendedahkan kelemahan sendiri untuk mendapatkan data terkini yang jelas berbeza dengan data daripada JKPTG Negeri Kedah?

5.PAS Kedah memahami bahawa tindakan dengan ‘sengaja’ mencetuskan sandiwara sehingga menimbulkan kecaman dan tohmahan ke atas Kerajaan Negeri Kedah pimpinan YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor adalah naratif yang dirancang bersifat politik semata-mata.

6.Malangnya, satu demi satu naratif seleweng itu dipatahkan oleh Kerajaan Negeri Kedah. Daripada isu permohonan Kedah Aerotropolis sehingga isu Tanah Rizab Melayu, semua naratif seleweng yang sengaja ditegakkan bukan sahaja tersasar, bahkan mendedahkan pula pekung kelemahan Menteri yang tidak profesional dalam menjalankan tugas.

7.PAS Kedah berpandangan segala tohmahan yang dikemukakan ini tidak akan memberikan kesan terhadap keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri Kedah. PAS Kedah sentiasa menyokong sepenuhnya kepimpinan YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor dalam mentadbir Kerajaan Negeri Kedah.