Home Kenyataaan Media PAS Perak

Kenyataan Media Pemuda PAS Perak : Jangan Sampai Rakyat Hilang Kepercayaan

896
SHARE

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERAK*
18 Mei 2017 | 21 Sya’ban 1438

“Jangan Sampai Rakyat Hilang Kepercayaan”


1. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu memberi jaminan bahawa kecurangan melibatkan pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam melindungi kegiatan jenayah dapat ditangani sepenuhnya. Ianya suatu ‘malapetaka’ yang amat menggusarkan setelah ‘harapkan pegar, pegar makan padi’.

2. Lebih lagi, kes ditemui baharu ini berlaku di pusat pentadbiran utama PDRM iaitu Bukit Aman; seolah-olah mengeramkan telur biawak di reban ayam. Rakyat sememangnya amat bergantung harap kepada PDRM, tetapi dengan kejadian tersebut ia menimbulkan banyak trauma kepada orang ramai.

3. Misalnya yang selalu menjadi bualan ramai adalah mengenai ‘duit kopi’ yakni rasuah dalam jumlah kecil dan selalunya melibatkan kesalahan trafik. Tetapi apabila dilaporkan perlindungan atas jenayah seperti dadah serta melibatkan pegawai, sudah tentu kecurigaan itu muncul bila melihat imej polis.

4. Sedangkan, polis seharusnya dilihat sebagai pelindung dan perasaan terancam akan membayangi masyarakat lantaran kepercayaan sudah terusik. Apatah lagi kepada mangsa jenayah di mana boleh lahir anggapan bahawa polis tidak berusaha membantu mereka.

5. Malah, banyak kepentingan awam dan negara bakal tergugat oleh perbuatan seperti yang berlaku. Oleh itu kita harap langkah-langkah ke arah memulihkan segera dapat dinyatakan pucuk pimpinan tertinggi PDRM dalam memadam reputasi yang tercalar ini kerana masyarakat sebenarnya masih sayang kepada PDRM.

6. Kerajaan juga digesa mengkaji semula aspek kebajikan PDRM dalam pelbagai sudut, termasuk melibatkan kecukupan gaji dan elaun agar tidak berlaku tekanan hidup hingga membawa kepada masalah ini. Keprihatinan kerajaan dalam perkara ini penting setimpal pengorbanan dan tugasan PDRM.

7. Masyarakat juga perlu mengambil iktibar betapa kejadian seperti ini tidak pelik kerana ianya adalah ‘jangkitan’ dari barah rasuah yang ada pada pemimpin negara. Kerana itulah PAS mahu merubah sistem pemerintahan hari ini kepada Islam yang antaranya mengikat soal dosa dan pahala.

_“Sejahtera Bersama Islam”_
_“Mara Menuju Cita”_

USTAZ MOHD SYAKIRIN HUSAIN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

 

{jathumbnail off}