KENYATAAN MEDIA
PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS)
“Sembah Tahniah Pertabalan SPB YDPA Ke-XV”
1. Patik mewakili seluruh pimpinan dan ahli PAS merafak sembah takzim setinggi-tinggi tahniah KDYMM Sultan Muhammad V atas pertabalan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-XV dan berdoa agar Tuanku dapat memerintah dengan jayanya.
2. Sesungguhnya Raja Berpelembagaan adalah payung kepada kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai ini. Naungan Tuanku bermakna rakyat dan kerajaan perlu mencurahkan taat setia agar kerukunan negara ini sentiasa terpelihara.
3. Keadilan adalah aspek utama dalam menunaikan pemerintahan yang menjadi suruhan dan pertanggungjawaban oleh Allah kepada wakil-Nya di muka bumi bagi menjalankan amanah kekhalifahan.
4. Patik dan seluruh rakyat jelata selama ini telah menjadi saksi serta menyanjungi kesantunan Tuanku mencemar duli dalam menyelami hal ehwal rakyat dan negara, dengan penuh pengharapan agar ia terus dilangsungkan sepanjang pemerintahan Tuanku.
5. Selaku penaung tertinggi agama Islam yang juga agama bagi negara ini, patik meyakini Tuanku adalah teladan untuk membawa mesej agama rahmat kepada sekalian alam ini tersemai ke bumi Malaysia dengan mengharmoni dan menyatukan kepelbagaian pada seluruh rakyat.
6. Semoga di bawah pemerintahan Tuanku, kepercayaan kepada Tuhan, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, kesopanan dan kesusilaan akan mengukuh setia dalam ikrar rakyat Malaysia semuanya.
“Inilah Penyelesaian Kita”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
27 Rejab 1438H / 24 April 2017M