Home Kenyataaan Media PAS Perak

Kenyataan Media PAS Perak : Memperkasa Agenda Penyatuan Ummah

88
SHARE

PAS Perak menyambut baik keputusan mesyuarat PAS Pusat untuk memperkasakan agenda Perpaduan Ummah. Keputusan untuk terus menjadikan UMNO sebagai rakan taawun adalah satu keputusan yang membuktikan PAS mengutamakan perpaduan dalam politik sesuai prinsip Islam yang menjadi teras pegangan perjuangan PAS.

PAS Perak juga menyedari keputusan UMNO Perak yang menolak kerjasama dengan PAS dalam PRU 15. Keputusan ini dilihat sebagai tindakan yang membelakangkan kepentingan ummah dan membuka peluang DAP berkuasa.

PAS Perak juga menyedari bahawa kedudukan posisi kerusi DUN yang tidak seimbang dan akan merugikan kepentingan rakyat Perak khasnya ummat islam dan orang Melayu. Pakatan Harapan pastinya akan meneruskan agenda mereka yang terhalang dalam kerajaan yang lalu khasnya pemilikan tanah 999 tahun.

PAS Perak masih meletakkan harapan agar UMNO Perak berlapang dada dan mengutamakan agenda kepentingan ummah dan rakyat Perak lebih utama dari kepentingan politik kepartian. PAS Perak mengharapkan agar perbincangan dapat dibuat dalam konsep kerjasama dan tolarensi di beberapa DUN yang tidak menguntungkan Melayu Islam jika berlaku pertembungan.

PAS Perak berpegang dengan kaedah feqah ” jika tidak dapat melakukan semua perkara, jangan tinggalkan semua”. Bagi PAS kepentingan ummat islam, bangsa Melayu dan kestabilan politik antara kaum lebih utama dari keegoan partisan dan kepuakan.

PAS Perak masih mengharapkan PRU 15 berlaku satu lawan satu berkonsep penyatuan ummah parti Melayu dan bukan Melayu yang tidak ekstrem dengan menolak konsep jajaran baru dan khemah besar.

“ MALAYSIA SEJAHTERA ”

YB RAZMAN BIN ZAKARIA
PESURUHJAYA PAS PERAK
12 SEPTEMBER 2022