Home Kenyataan Media PAS Kedah

Kenyataan Media: PAS Jerai Sokong Tolak Khemah Besar

126
SHARE
PAS Kawasan Jerai menyambut baik kenyataan rasmi parti seperti yang dikeluarkan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Haji Mohd Amar Abdullah, mengambil pendirian sama menolak Pendekatan ” Khemah Besar ” dalam menghadapi PRU ke 15.
PAS Kawasan Jerai ingin menyatakan sokongan penuh terhadap gagasan penyatuan ummah sebagai strategi ampuh mendepani cabaran Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) yang mendatang. Kemelut politik negara memerlukan penyelesaian tuntas demi kestabilan dan masa depan negara. Gabungan longgar yang wujud kini tidak dapat memastikan kestabilan negara yang berterusan.
Firman Allah S.W.T :
وَاعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللّٰهِ جَمِيْعًا وَّلَا تَفَرَّقُوْا ۖوَاذْكُرُوْا نِعْمَتَ اللّٰهِ عَلَيْكُمْ اِذْ كُنْتُمْ اَعْدَاۤءً فَاَلَّفَ بَيْنَ قُلُوْبِكُمْ فَاَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهٖٓ اِخْوَانًاۚ وَكُنْتُمْ عَلٰى شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَاَنْقَذَكُمْ مِّنْهَا ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللّٰهُ لَكُمْ اٰيٰتِهٖ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُوْنَ.
Mafhumnya : “Dan berpegang teguhlah kamu semua pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah menjinakkan di antara hati-hati kamu, sehingga dengan nikmat-Nya kamu menjadi bersaudara, (sedangkan ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu agar kamu mendapat petunjuk”.
Surah Ali Imran : 103
PAS melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) terus berusaha dan menyeru ke arah Penyatuan Ummah yang menyeluruh. Ini adalah penting bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan negara.
Melalui prinsip budaya politik matang dan sejahtera PAS berusaha sedaya upaya demi kesejahteraan negara dan rakyat menyatukan PAS, UMNO dan BERSATU serta parti bukan Islam yang sederhana dan terbuka di dalam ‘front politik’ bersama bagi menghadapi PRU ke 15.
PAS teguh berdiri di atas prinsip perjuangan demi melihat Islam dipelihara sebagaimana termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.
Semoga usaha yang kita lakukan ini diterima oleh Allah SWT dan disambut dengan jiwa besar oleh pemimpin-pemimpin politik Melayu Islam dan seluruh umat Islam di tanah air dan seluruh rakyat yang inginkan keamanan dan kemakmuran bagi negara tercinta ini.
“Islam Menyatukan Ummah”
USTAZ MUSODDAK AHMAD
YDP PAS Kawasan Jerai dan
Pimpinan PAS Kawasan Jerai
22 Zulkaedah 1443H / 22 Jun 2022