KENYATAAN MEDIA
KOMITMEN SAF PEMBANGKANG YANG BERINTEGRITI TINGGI DAN KHIDMAT TERBAIK UNTUK SEMUA
1. Alhamdulillah, semalam 6 April 2023 bersamaan 15 Ramadan 1444H telah diadakan Seminar Pemantapan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri Perak Siri 1 anjuran Pejabat Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak.
2. Seminar yang telah berlangsung buat julung kalinya ini diadakan hasil cetusan idea daripada Ketua Pembangkang, YB Tuan Haji Razman Bin Zakaria bagi memberikan pendedahan yang jelas kepada saff pembangkang mencakupi nilai integriti, inklusif dan profesionalisme .
3.Bagi siri yang pertama, fokus pengisian adalah memberikan pendedahan mengenai aspek integriti, tata kelola dan personaliti ahli politik yang bersih dan dihormati masyarakat. Pengisian tersebut telah disampaikan oleh KPKPj Tuan Mustafa Kamal Bin Ahmad (Timbalan Pengarah Operasi) SPRM Perak bersama 4 orang pegawai beliau yang turut hadir.
4. Seterusnya, bagi memastikan Ahli Dewan Negeri memanfaatkan platform dan perkhidmatan yang tersedia oleh Bahagian Dewan Negeri & Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Yang Berusaha Tuan Amir Fadhil Bin Mohamed Halmi, Penolong Setiausaha Kerajaan telah hadir memberikan penerangan yang cukup jelas agar para Ahli Dewan Negeri Perak memanfaatkan peluang yang ada untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat dan berperanan di dalam Sidang Dewan Negeri dengan menjadi pembahas yang berkualiti dan berfakta sebagai ahli Legislatif yang bertanggungjawab dalam menggubal perundangan dan dasar negeri.
5. Ribuan terima kasih dan penghargaan diucapkan kepada Pengarah program, YB Ustaz Akmal Kamarudin, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri yang hadir, para pegawai khas, para urusetia serta semua yang terlibat dalam menjayakan program dan hasil program ini sudah pasti akan menzahirkan komitmen yang baik untuk kami berikan kepada semua rakyat di negeri Perak.
6. Perikatan Nasional Negeri Perak terus kukuh dan kuat dengan membawa isu dan suara rakyat demi kesejahteraan rakyat dan negeri bertuah ini, insya-Allah.
YB TUAN HAJI RAZMAN BIN ZAKARIA
KETUA PEMBANGKANG DEWAN NEGERI PERAK
7 APRIL 2023 | 16 RAMADAN 1444H