1 Julai 2020 I 9 Zulkaedah1441
Kebenaran Berjemaah Masjid & Surau : Umat Islam Diseru Manfaatkan Peluang
- Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merakamkan rasa syukur dengan kenyataan media terbaru yang disiarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Selangor mengenai perkenan DYMM Sultan Selangor mengenai semua masjid, surau dan Surau Kebenaran Solat Jumaat di Selangor dibuka untuk solat Jumaat dan solat fardhu bermula Jumaat ini.
- Ternyata perkhabaran tersebut merupakan kegembiraan buat umat Islam di negeri Selangor ini dengan bilangan had jemaah yang dibenarkan lebih ramai dan lebih meluas yang melibatkan juga surau selain masjid. Kegembiraan ini merupakan peluang besar yang mesti dimanfaatkan oleh umat Islam dengan :
i. Menghadirkan diri solat berjemaah di masjid dan surau.
ii. Bersegera hadir ke masjid dan Surau Kebenaran Jumaat bagi pada waktu solat Jumaat.
iii. Mematuhi SOP semasa yang ditetapkan seperti berwudhuk dari rumah, membaw sejadah sendiri, memakai pelitup muka, menjaga jarak sosial dan lain-lain.
- Kini tibanya pasca COVID-19 dengan norma baharu kehidulan menjadikan kehidupan kita dalam soal amalan beragama lebih baik dari sebelum ini. Manfaat peluang ini untuk memperbaiki diri dalam soal solat berjemaah dan kelaziman menghadiri rumah-rumah Allah. Ini kerana umat Islam yang melazimi rumah-rumah akan perolehi beberapa faedah dan kebaikan antaranya :
i. Menghidupkan syiar agama dan keizzahan kekuatan ummah.
ii. Menguatkan hubungan silaturrahim sesama umat Islam.
iii. Masjid merupakan tempat penyucian jiwa bagi menjadi hamba Allah yang bertaqwa.
Firman Allah SWT :
لَّمَسۡجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقۡوَىٰ مِنۡ أَوَّلِ یَوۡمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِیهِۚ فِیهِ رِجَالࣱ یُحِبُّونَ أَن یَتَطَهَّرُوا۟ۚ وَٱللَّهُ یُحِبُّ ٱلۡمُطَّهِّرِین)
Maksudnya :
sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin). – [Surah At-Tawbah 108]
- DPPNS juga menasihati agar orang ramai tidak terpengaruh dengan emosi yang tidak stabil apabila sebelum ini wujudnya polemik yang sengaja dicetuskan dalam soal bilangan jemaah yang dibenarkan solat Jumaat dan solat fardhu dengan kata-kata yang kurang enak serta tidak wajar keluar dari mulut seseorang yang melazimi kehadiran ke masjid / surau.
- DPPNS mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak Istana dan seluruh agensi institusi agama yang melaksanakan tanggungjawab dengan penuh hemah serta teliti dalam soal menjaga kesucian imej institusi agama dan soal kebajikan umat Islam dengan perkembangan makluman semasa yang diberikan. Sebagai rakyat, kita wajar terus bersabar dan memberikan kepercayaan atas tugasan yang dilaksanakan oleh pihak berwajib.
Demi Islam
Bangkit : Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah
Ustaz Hanafi bin Zulkapli
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor