Home Artikel PAS Pusat

Kenyataan Media Jabatan Kesihatan PAS: Isu Ganja Perubatan

702 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA JABATAN KESIHATAN PAS MALAYSIA
ISU GANJA PERUBATAN

1] PAS memandang serius dengan gerakan yang telah dibuat oleh sesetengah pihak untuk mengesa Kerajaan Malaysia menghalalkan ganja perubatan. Kenyataan demi kenyataan yang telah dikeluarkan oleh YB Senator Datuk Husam Musa sebagai contohnya, seolah-olah beliau dan agensi yang berada di bawahnya nekad untuk menghalalkan ganja perubatan. Begitu juga dengan sokongan yang beliau perolehi dalam media sosial seperti yang dikeluarkan oleh YB Nurul Izzah Anwar dan Prof Dr Adeeba Kamarulzaman yang menggesa kerajaan menilai semula akta yang berkaitan dengan ganja di negara ini.

2] Kita amat sedar bahawa manfaat ganja, sekiranya dibuktikan ada, hanyalah terlalu sedikit dan hanya untuk tujuan tertentu sahaja. Sepertimana kenyataan bersama yang telah dikeluarkan oleh National Academies of Sciences, Engineering and Medicine (NASEM USA) dari Centers of Disease Control and Prevention (CDC), Food and Drug Administration (FDA), dan beberapa badan terkemuka lain seperti the National Institute on Drug Abuse, the National Cancer Institute, the National Highway Traffic Safety Administration, the Alaska Mental Health Trust Authority, the Arizona Department of Health Services, the California Department of Public Health, the Oregon Health Authority, the Colorado Health Foundation dan the Washington State Department of Health. Semua badan-badan berautoriti ini telah menyimpulkan ganja hanya berguna dalam tiga keadaan sahaja:

i] Untuk mengawal sejenis sakit yang dinamakan “Chronic Neuropathic Pain”. CNP ialah sakit berpanjangan akibat kecederaan yang melibatkan pengaktifan saraf-saraf sakit. Dalam keadaan ini, ganja perubatan hanyalah sebagai rawatan tambahan (adjuvant therapy) kepada ubatan dan rawatan sedia ada yang telah pun terbukti berkesan. Ganja perubatan bukanlah sebagai rawatan pertama atau rawatan utama. Ini bermakna, hanya jika rawatan utama tidak boleh mengawal masalah ini, maka sebagai pilihan akhir, ubat yang dibuat daripada ganja ini boleh diberikan. Namun penggunaannya wajib dengan penyeliaan pakar perunding yang berpengalaman dalam rawatan ini. Pesakit mesti dipantau rapi, kerana jika timbulnya kesan sampingan seperti ketagihan atau penyalahgunaan dadah, maka rawatan ini hendaklah dihentikan.

ii] Untuk melegakan muntah-muntah yang disebabkan oleh rawatan kemoterapi. Premis kesihatan dan perubatan moden sudah pun terdapat banyak ubatan dan rawatan lain untuk masalah muntah ini. Sekali lagi, ganja perubatan hanyalah pilihan akhir sekiranya rawatan lainnya tidak berkesan.

iii] Untuk mengurangkan spastik atau ketegangan otot yang disebabkan oleh penyakit “Multiple Sclerosis” (MS). MS ialah penyakit autoimmune dan cara terbaik mengawal ialah dengan “immunosuppression” untuk menghalang sel-sel sistem imun badan melawan sel badan sendiri. Dalam keadaan ini pun, rawatan utama bukanlah ganja.

3] Pihak berkuasa Makanan dan Dadah (FDA) juga meluluskan penggunaan ganja perubatan (Cecair CBD) berjenama Epidiolex® untuk rawatan penyakit sawan teruk kanak-kanak (Dravet syndrome dan Lennox-Gastaut syndrome). Manakala di United Kingdom, Canada, beberapa negara Eropah meluluskan ubat berasaskan minyak CBD bernama nabiximols (Sativex®). Kita menegaskan bahawa negara ini tidak perlu menanam ganja atas alasan ingin menjalankan kajian. Keputusan yang telah dibuat oleh badan berkuasa dunia (FDA) dari WHO itu sudah memadai. Perlu diingat bahawa kebenaran meluluskan ganja bagi kegunaan perubatan berbeza kebenaran halalkan bagi tujuan kajian perubatan.

4] Kita berterima kasih atas ketegasan kenyataan tidak menerima ganja dihalalkan oleh pihak Polis Di Raja Malaysia, Ketua Pengarah Kanan Bahagian Farmasi Malaysia, Dr Ramli Zainal dan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia. YB Dr Lee Boon Chye menggesa agar mana-mana pihak yang merasakan ganja perubatan itu bermanfaat agar tampil ke depan untuk kemukakan laporan kajian mereka. Agensi Regulatori Farmasi Kebangsaan (NPRA) sedia sahaja mendengar penghujahan yang dibuat oleh industri terbabit jika benar ganja itu memberikan manfaat kepada perubatan dan kesihatan negara.

5] Perlu dingat, kenyataan pihak yang berautoriti tersebut bukan bemakna mereka membenarkan penanaman ganja walau atas nama dan tujuan perubatan sekalipun. Kita boleh melihat sendiri kesan negatif yang besar kepada negara-negara yang telah menghalalkan ganja perubatan tersebut. Statistik dari penjualan ganja secara rekreasi di Amerika Syarikat telah meningkat dengan banyak melebihi daripada peningkatan penjualan kerana tujuan perubatan. Boleh lihat laporan dari Laman web rasmi Marijuana Business Daily, penjualan ganja rekreasi pada tahun 2017 ($2.6-$2.9 juta) dan 2018 ($3.8-$5.0 juta) melebihi dari penjualan kerana perubatan; tahun 2017 ($2.5-$3.2 juta) dan tahun 2018 ($2.9-$3.8 juta). Sedangkan pada tahun 2013 dipermulaan ganja perubatan diluluskan penanaman, pemprosesan dan penjualan adalah $0 bagi ganja rekreasi. Permintaan terhadap ganja untuk tujuan rekreasi semakin bertambah setiap tahun. Jangkaan jualan ganja rekreasi pada tahun 2019 dan mendatang melebihi berkali ganda daripada jualan ganja tujuan perubatan. Perkara ini amat membimbangkan kita kerana sebagaimana diketahui umumnpengambilan ganja secara rekreasi akan merosakkan fizikal, mental dan sosial masyarakat.

6] Kita mendesak Menteri Kesihatan YB Datuk Seri Dzulkifly Ahmad agar memainkan peranan bagi menghalang terus segala bentuk aktiviti atau gerakan yang cuba dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk mempengaruhi ahli politik melobi bagi menghalalkan ganja perubatan ini. Sekiranya silap langkah dan perhitungan kita pada masa ini akan memberikan kesan yang besar kepada kesejahteraan negara pada masa akan datang.

7] Kita komited, bahawa walau atas alasan untuk meningkatkan ekonomi sekalipun, ganja tidak wajar dihalalkan. Tiada kompromi terhadap ganja. Ambillah pandangan hukum dan fatwa bahawa ganja itu haram sepertimana yang sudah sekian lama dinyatakan oleh para alim ulama. Mudah-mudahan negara kita senantiasa berada dalam keadaan harmoni, rakyatnya sihat serta terus meningkatkan produktiviti negara.

Malaysia sejahtera tanpa ganja.
Sekian
Dr Hj Md Khalid Kassim
LAJNAH KESIHATAN PAS
19 JAN 2019