Home Kenyataan Media PAS Selangor

Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor | Membangun Bangsa Memakmur Negeri, Tanggungjawab Bersama

2304
SHARE

KENYATAN MEDIA
DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI SELANGOR
31 Oktober 2017 | 11 Safar 1439

“MEMBANGUN BANGSA MEMAKMUR NEGERI TANGGUNGJAWAB BERSAMA”

1. Bidasan Ahli Majlis Pimpinan PKR, Juwairiya Zulkifli terhadap Ahli Dewan Negeri Sabak, Yang Berhormat Tuan Ustaz Sallehen Mukhyi adalah sikap tidak hormat, celupar dan angkuh. Tempelakan Juwairiya ke atas Yang Berhormat Sallehen dengan dakwaan mengelirukan dan tidak profesional itu hanyalah umpama meludah ke langit.

2. Sewajarnya usaha dilakukan oleh Yang Berhormat Sallehen diterima sebagai tindakan positif dalam memastikan maklumat sampai kepada rakyat. Usaha tersebut adalah bukti bahawa PAS mendokong penuh Kerajaan Negeri Selangor. PAS telah menggerak peranan agar Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sampai kepada akar umbi.

3. Malangnya, Juwairiya telah bersikap tidak profesional dengan melemparkan tuduhan melulu dan emosi terhadap usaha murni tersebut. Malah, tindakan serong Juwairiya itu seolah-olah cuba untuk menjatuhkan imej serta reputasi Ahli Dewan Negeri tersebut. Ia sama sekali tidak wajar dan mencetuskan perasaan kurang senang.

4. Apatah lagi PAS adalah salah satu komponen Kerajaan Negeri Selangor yang mendapat mandat rakyat dalam PRU13 lalu. Maka tidaklah menjadi kesalahan untuk parti komponen kerajaan memaparkan logo parti dalam usaha mempromosi produk Kerajaan Negeri. Fokus utama yang perlu diberi perhatian ialah penilaian sama ada rakyat telah atau belum menerima maklumat serta menikmati 17 produk Inisiatif Peduli Rakyat tersebut.

5. Ketidakmatangan Juwairiya itu telah membina satu persepsi seolah-olah Kerajaan Negeri Selangor sedang menghadapi krisis dalaman melibatkan kalangan parti komponen. Perbuatan beliau juga umpama melambung bola tanggung untuk pihak tidak bertanggungjawab yang ingin menggugat kestabilan Kerajaan Negeri Selangor.

6. Justeru kepentingan rakyat sepatutnya diutamakan melebihi kepentingan parti. Usah membesarkan isu remeh sebegini hanya untuk menjadi hero politik. Paling penting adalah kita parti komponen kerajaan seharusnya terus bekerja untuk memberikan khidmat terbaik buat seluruh rakyat negeri Selangor.

“Pertegas Prinsip Perjuangan”

NOR ZARINA MOHD AZHAR
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor