Home Kenyataan Media PAS Pahang

Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang : Menyokong penuh titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berhubung isu pencerobohan tanah di Raub

38
SHARE

KENYATAAN RASMI DEWAN MUSLIMAT PAS NEGERI PAHANG       18 April 2025 / 19 Syawal 1446

MENYOKONG PENUH TITAH KEBAWAH DULI PADUKA BAGINDA SULTAN PAHANG BERHUBUNG ISU PENCEROBOHAN TANAH DI RAUB

  1. Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang merafak sembah dan menjunjung kasih atas titah  Tuanku Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berhubung isu pencerobohan tanah milik kerajaan negeri di Raub yang telah disalahgunakan bagi penanaman durian Musang King secara haram.
  1. Sebagai sayap wanita dalam gerakan Islam dan sebahagian daripada rakyat negeri Pahang yang setia, kami menyokong sepenuhnya ketegasan pihak kerajaan negeri dalam mempertahankan hak milik tanah serta kedaulatan undang-undang. Tindakan yang tegas dan berhemah perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang menceroboh tanah tanpa kebenaran, demi menjaga kemaslahatan umum dan kelestarian alam sekitar.
  1. Islam sangat menitikberatkan keadilan dan amanah dalam pengurusan harta serta pemeliharaan hak milik. Perbuatan menceroboh tanah kerajaan adalah suatu kezaliman dan melanggar prinsip maqasid syariah dalam menjaga harta (hifz al-mal). Maka, pendirian Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu ini secara tuntas amatlah kami junjung dan sokong.
  1. Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang juga tidak bersetuju dengan sikap mana-mana Ahli Parlimen, khususnya Ahli Parlimen Raub, yang secara terbuka menyokong pencerobohan tersebut. Sokongan sedemikian bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang, malah boleh mengelirukan rakyat dan merosakkan keharmonian institusi pemerintahan negeri.
  1. Kami menyeru semua pihak agar mengutamakan prinsip keadilan, mematuhi undang-undang, serta menghormati institusi diraja dan kedaulatan negeri. Usaha menjaga tanah negeri daripada pencerobohan adalah tanggungjawab bersama, demi kesejahteraan dan keadilan buat semua pihak.
  1. Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang menggesa agar pihak berwajib menjalankan siasatan menyeluruh terhadap laporan polis yang telah dibuat oleh pelbagai pihak, dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam pencerobohan tanah Hutan Simpan di Negeri Pahang. Pencerobohan yang berlaku sejak hampir 40 tahun, melibatkan keluasan melebihi 5,000 hektar, merupakan pencabulan serius terhadap undang-undang sedia ada serta suatu tindakan yang mencabar kedaulatan kerajaan negeri.                                                                                                                                                                    YB Hajah Salamiah Mohd Nor                            Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang                              Ahli Parlimen Temerloh