KERAJAAN PERLU AMBIL PENDIRIAN TEGAS TERHADAP KENYATAAN PRESIDEN TRUMP
8 Februari 2025
- Dengan penuh rasa kebertanggungjawaban, saya ingin menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkenaan cadangan pengambilalihan kawalan ke atas Gaza oleh Amerika Syarikat. Kenyataan sedemikian bukan sahaja mencabul kedaulatan Palestin, malah ia bertentangan dengan prinsip keadilan sejagat yang kita perjuangkan.
- Malaysia sebagai sebuah negara yang menjunjung tinggi nilai-nilai Islam dan kemanusiaan, saya menggesa kerajaan persekutuan untuk mengambil pendirian yang lebih tegas dan berprinsip dalam isu ini. Kita perlu menggerakkan mekanisme diplomatik yang lebih berkesan di peringkat antarabangsa untuk membela hak rakyat Palestin.
- Dunia tidak seharusnya mengulangi kesilapan sejarah dengan membenarkan pengusiran paksa rakyat Palestin sekali lagi. Cadangan untuk memindahkan penduduk Gaza ke negara-negara ketiga membangkitkan kembali memori pahit peristiwa Nakba 1948, di mana lebih 700,000 rakyat Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka dan menjadi pelarian di negara sendiri serta negara-negara jiran.
- Sejarah telah membuktikan bahawa perpindahan paksa penduduk bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, tetapi juga meninggalkan kesan trauma yang berkekalan merentasi generasi. Pengusiran penduduk Palestin pada 1948 telah mengakibatkan krisis kemanusiaan yang berlarutan sehingga ke hari ini, dengan jutaan pelarian Palestin masih hidup dalam keadaan yang tidak menentu di kem-kem pelarian.
- Cadangan untuk mengulangi senario yang sama di Gaza pada hari ini bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, tetapi juga melanggar prinsip asas undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva. Setiap manusia mempunyai hak asasi untuk hidup dengan maruah di tanah air mereka sendiri. Masyarakat antarabangsa perlu bangkit mempertahankan hak rakyat Palestin dan mencegah sebarang percubaan untuk mengulangi tragedi sejarah.6. Saya mencadangkan beberapa langkah konstruktif untuk dipertimbangkan oleh kerajaan:- Mengadakan perbincangan dwi-parti di Parlimen untuk mencapai konsensus nasional mengenai isu ini.
– Mengukuhkan usaha diplomatik Malaysia di forum-forum antarabangsa.
– Meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza melalui saluran-saluran yang diiktiraf
– Memperkasakan peranan Malaysia dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
7. Kami yakin, dengan pendekatan yang berhemah tetapi tegas, Malaysia mampu memainkan peranan yang lebih signifikan dalam mencari penyelesaian kepada krisis kemanusiaan di Gaza.
“KEAMANAN UNTUK GAZA, KEADILAN UNTUK PALESTIN”
Ustaz Aireroshairi Roslan Ketua Penerangan PAS Pahang