Home Berita PAS Pusat

Kenyataan Majlis Syura ‘Ulamak berkenaan Palestin

162
SHARE

KENYATAAN MEDIA
MAJLIS SYURA ‘ULAMAK, PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS)

Muzakarah Majlis Syura ‘Ulamak, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang bersidang secara maya pada Selasa 18 Mei 2021 bersamaan 6 Syawal 1442H menegaskan perkara-perkara berikut;

1. PAS selari dengan pendirian rasmi kerajaan Malaysia menegaskan bahawa Israel yang dikuasai oleh Zionis Yahudi adalah kerajaan haram yang dibina di atas bumi dan negara Palestin yang dirampas sejak 1948.

2. Kesan pencerobohan Zionis Yahudi ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa ratusan ribu rakyat Palestin manakala jutaan mereka terusir keluar daripada negara sendiri dan menimbulkan konflik berpanjangan di rantau tersebut.

3. Tindakan Zionis Yahudi di negara haram Israel menyerang, membunuh dan merampas bumi umat Islam Palestin adalah sebenar-benar keganasan yang layak untuk pelakunya digelar sebagai pengganas dan terrorist serta merupakan jenayah antarabangsa yang perlu disekat dan dihalang oleh dunia dengan apa cara yang ada.

4. Sebarang penentangan oleh rakyat Palestin terhadap pencerobohan Zionis Yahudi demi mempertahankan tanah air, nyawa, kehormatan dan harta benda mereka adalah perjuangan yang menepati hak asasi rakyat yang dizalimi.

5. Sebarang usaha normalisasi dengan Zionis Yahudi dan kerajaan haram Israel yang merupakan talian hayat kepada rejim penjajah ini perlu ditolak dan disanggah dengan tegas.

6. Kesatuan dan perpaduan umat Islam dengan pelbagai aliran dan mazhab serta gabung jalin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diperkukuhkan dalam menghadapi kezaliman Zionis Yahudi.

7. Umat Islam dan masyarakat seluruh dunia diseru bersama membantu dan menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan hak mereka di bumi yang dijajah dan dirampas oleh Zionis Yahudi dengan pelbagai cara sama ada menerusi kuasa politik dan suara diplomatik di peringkat antarabangsa mahupun kuasa ekonomi melibatkan harta benda dan sebagainya.

8. PAS mendesak Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) untuk menggandakan peranan menggembleng tenaga umat Islam bagi memperjuangkan perlindungan antarabangsa kepada warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat sekaligus menolak sebarang ancaman daripada serangan serta gerakan penjajahan rejim Zionis Israel.

9. Seluruh umat Islam diseru untuk sentiasa melakukan Qunut Nazilah memohon keselamatan untuk umat Islam Palestin.

Disediakan oleh,

Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Setiausaha, Majlis Syura ‘Ulamak,
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)