Home Artikel PAS Perak

Kenyaan Media | PH Sibuk Berpolitik, Rakyat Perak Terabai

117 views
SHARE

[KENYATAAN MEDIA | BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI PERAK]

“PH SIBUK BERPOLITIK, RAKYAT PERAK TERABAI”

1. Porak peranda politik khususnya yang berlaku ke atas Kerajaan Negeri Perak telah membantutkan usaha pembangunan negeri dan menyejahterakan kehidupan rakyat. Semakin hari semakin terdedah pekung besar kepincangan kerajaan PH. Bermula dari episod komplot untuk menjatuhkan Menteri Besar, biarpun ia bermatian dinafikan sehingga terbaru skandal lebih besar dan jijik sedang berlaku dimana batang tubuh EXCO Kerajaan Negeri terpalit dakwaan serius kes rogol dan kes melibatkan rasuah.

2. Ironisnya PH yang dikatakan pejuang ‘rules of law’ bersifat ‘double standard’ melalui campur tangan terhadap perundangan dan lebih parah lagi dalam beberapa isu kebelakangan ini dilihat adanya seakan tindakan saling jatuh-menjatuhkan sesama sendiri dipercayai atas kepentingan peribadi yang dikejar.

3. Sewajarnya selaku pemimpin rakyat,kerajaan tampil memberi contoh teladan terbaik, selain memenuhi tanggungjawab melaksanakan tugas-tugas penting dan berat untuk memakmurkan negeri. Inilah nilai kepimpinan yang diajar Islam kerana jawatan bukan untuk kebanggaan atau mengambil kesempatan peribadi diri. Di sisi Allah Taala amanah ini pasti akan disoal, apatah lagi rakyat sudah memberi kepercayaan menerusi mandat undi mereka. Malangnya, rakyat dikhianati dan ditipu oleh politikus PH atas sikap haloba dan sengketa sesama mereka.

4. Sudah lebih setahun mentadbir Perak, tiada sebarang perubahan ketara yang berlaku. Tidak jelas perancangan untuk masa depan Negeri Perak, tiba-tiba rakyat diserabutkan dengan perebutan jawatan sesama mereka. Jaminan dan pembelaan untuk memberdayakan hidup rakyat agar lebih sejahtera terus kabur dan malap.

5. Justeru, rakyat perlu bangkit untuk tidak lagi diperdaya.Semua ini adalah pengkhianatan dan kecurangan akibat mengabai amanah, di mana hanya rakyat yang boleh menghentikannya melalui medan demokrasi. Kuasa rakyat berdaulat dan bermaruah mesti dikembalikan dengan kuasa undi yang ada pada PRU ke 15 nanti untuk menatijahkan keputusan lebih terjamin.

6. PAS Perak menyedari tanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Demi pembangunan negeri Perak, PAS Perak sedia menyumbang idea penyelesaian kepada permasalahan yang berlaku. PAS Perak terus komited dan yakin melalui agenda penyatuan ummah dapat meningkatkan lagi kesejahteraan dan pembangunan negeri Perak. Malahan pembudayaan politik matang dan sejahtera lebih memberi kesan positif kepada rakyat berbanding sikap PH yang berjanji manifesto tidak dilunaskan serta tindakan PH kini seolah mencabar kontrak sosial yang terbina seawal kemerdekaan dicapai.

YB HJ RAZMAN ZAKARIA
[Pesuruhjaya PAS Perak/Adun PAS Gunung Semanggol]