Home Artikel PAS Selangor

Kemerdekaan : Kesannya Kepada Raja-raja Melayu Dan Rakyat – Laman Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor | Ustaz Shafie Bin Ngah

420
SHARE

Oleh : Ustaz Shafie Bin Ngah

Izinkan saya bentangkan di sini betapa (1) pentingnya detik kemerdekaan Tanah Melayu dengan institusi Raja-Raja Melayu dan (2) pentingnya detik kemerdekaan Tanah Melayu dengan rakyat kebanyakan.

Biar kita tahu supaya kita sama-sama faham. Bila kita faham maka tiadalah kita cakap ikut suka hati sahaja. Nanti orang kata ‘tak sedar diri’.

Pertama; pentingnya detik kemerdekaan Tanah Melayu dengan institusi Raja-Raja Melayu.

Kemerdekaan Tanah Melayu adalah hasil rundingan di antara penjajah Inggeris dengan pemimpin-pemimpin politik di Tanah Melayu yang berjuang untuk memerdekakan Tanah Melayu. Di antara mereka adalah golongan Raja Melayu dan kerabat mereka, tokoh-tokoh pejuang orang Melayu dan tokoh-tokoh pejuang orang bukan Melayu (khususnya dari bangsa Cina dan India).

Banyak perkara menjadi intipati rundingan yang menjadi syarat bagi Inggeris memberi kemerdekaan. Antara lain ialah kuasa Raja-Raja Melayu kerana Raja-Raja Melayu adalah tuan punya dan pemerintah Tanah Melayu ini lama sebelum Inggeris dan penjajah lain masuk ke Tanah Melayu. Tidak mungkin kuasa mereka dicampak ketepi begitu sahaja.

Akhirnya dipersetujui bahawa kuasa Raja-Raja Melayu kekal. Kekal dengan ruang lingkup kuasa yang diperincikan supaya ianya jelas sebagai institusi Raja dalam sebuah negara yang merdeka. Perincian tersebut dinyatakan satu persatu di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.

Antara perincian yang berkaitan dengan kuasa Raja-Raja Melayu ialah baginda merupakan ketua dan pemerintah bagi negeri baginda.

Raja-raja Melayu sebagai pemerintah yang berdaulat di dalam negeri baginda, berperanan utama dalam memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Saraan : Justeru baginda mempunyai hak saraan diri daripada hasil negeri baginda sendiri dengan item-item saraan yang tertulis satu persatu.

Baginda juga berhak memilih Menteri Besar, melantik exco-exco kerajaan negeri dan beberapa perkara yang lain lagi.

Manakala jika ada salah laku pula Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pembentukan Mahkamah Khas bagi mengendalikan kes yang berkaitan dengan salah laku Raja.

Kedua; pentingnya detik kemerdekaan Tanah Melayu dengan rakyat.

Kemerdekaan Tanah Melayu memberi banyak kenikmatan kepada rakyat tidak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain bangsa yang sudah menetap di negara ini.

Antara kenikmatan yang dikecapi ialah bebas daripada belenggu perhambaan, berhak mendapat kewarganegaraan, bebas bersuara, bebas mencari harta -saraan diri dan kekayaan sebanyak manapun tanpa ada sesiapa yang memeras.

Rakyat juga bebas menyertai parti politik untuk menjadi pemimpin – negeri dan negara melalui cara pilihanraya. Perincian tersebut dinyatakan satu persatu di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.

Saraan : Mengenai saraan bekerja bagi orang awam terutama dalam Perkhidmatan Awam pula ada ketentuan khas di sebut secara jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Manakala bagi salah laku pula Perlembagaan Persekutuan membentuk Mahkamah sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan.

Nota :

  1. Raja-Raja Melayu yang dimaksudkan adalah bagi negeri-negeri Johor, Pahang, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak, serta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
  2. Bagi Negeri-Negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura pula mereka tiada Raja-Raja Melayu tetapi Yang di-Pertua Negeri (dulunya Gabenor).
  3. Bagi Sabah dan Sarawak pula lain perinciannya.
  4. Yang di-Pertuan Agong pula adalah institusi yang dibentuk bagi keseluruhan Persekutuan Tanah Melayu, meliputi negeri-negeri (1), (2) dan (3) diatas. Kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong dan saraan untuk diri baginda ada diperjelaskan satu persatu di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Betapa Perlembagaan negara dibentuk sebegitu rupa bagi menjelaskan kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu dan rakyat jelata maka terungkaplah kata-kata “Raja dan rakyat berpisah tiada”.

Ustaz Shafie Bin Ngah
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Negeri Selangor

20 Oktober 2020 | 3 Rabi’ul Awal 1442H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor