Home Berita PAS Perak

Kembalinya pejuang muslimah sejati ke sisi Rabb-Nya

491
SHARE

KEMBALINYA PEJUANG MUSLIMAH SEJATI KE SISI RABB-NYA

إنا لله وإنا إليه راجعون.
Bukan sebarang orang dipilih Allah meninggal dunia di hari Jumaat yang penuh barakah. Ramlah binti Bahari diberitakan meninggal dunia pada 7.26 malam hari ini pada usia 50 tahun. Pastinya berita ini membekas duka di hati sahabat-sahabat seperjuangan di negeri Perak khususnya di parlimen Parit.

Menggalas jawatan sebagai Ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS kawasan Parit selaku pengerusi Lajnah Kesenian dan Rekreasi merangkap ketua Majlis Guru PASTI Parit, beliau memberi komitmen yang tidak berbelah bahagi pada perancangan dan aktiviti di peringkat kawasan dan negeri.

Allahyarhamah meninggalkan lima orang anak dengan tiga daripadanya perempuan yang juga menyambung legasinya sebagai guru PASTI. Beliau dikenali sebagai seorang yang ceria dan mudah mesra meskipun dengan sahabat muslimat yang baru berkenalan dengannya. Sikapnya yang tenang dan penyabar amat disenangi mereka yang pernah berurusan dengannya.

Masa-masa hayatnya dipenuhi dengan semangat perjuangan yang berkobar. Menjadi seorang guru di PASTI Saidina Abu Bakar yang setia selama lebih 20 tahun serta tidak culas pula menghadiri program-program tarbiah dan siasah yang disusun oleh jamaah.

Akhir kata, Dewan Muslimat PAS Negeri Perak menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga Ramlah binti Bahari yang telah kembali ke pangkuan Ilahi. Berehatlah sahabat kami, kami menjadi saksi akan kebaikanmu, pengorbananmu serta jihadmu yang tidak pernah jemu.

اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها وأكرم نزلها ووسع مدخلها واغسلها بالماء والثلج والبرد ونقه من الذنوب والخطايا كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس.

Dr Najihatussalehah binti Ahmad
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Perak